BELIA BERKEMAHIRAN BANTU TINGKAT PENDAPATAN ISIRUMAH
PULAU PINANG, 2 Mei 2014 – Malaysia perlu berupaya untuk melahirkan keluarga dengan pendapatan isirumah yang baik bagi membolehkan negara ini mencapai tahap sebagai sebuah negara maju.
Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional, Tan Sri Dato’ Nor Mohamed Yakcop berkata, kerajaan sedang berusaha ke arah merealisasikan matlamat tersebut dengan melatih golongan belia untuk menguasai aspek kemahiran selain dari penguasaan akademik.
Katanya, tidak dinafikan aspek pendidikan tinggi perlu diberi penekanan yang sewajarnya bagi membolehkan seseorang individu itu keluar dari garis kemiskinan, sekaligus berupaya mengubah taraf hidup seluruh keluarga.
Namun jelasnya, kelemahan dalam menguasai akademik bukan alasan untuk membiarkan anak muda terus hanyut, sebaliknya mereka perlu diberi peluang untuk mencuba dalam pengembangan bakat dan kemahiran.
``Kebanyakan ibu bapa sering menekankan anak-anak dengan akademik dan mendidik mereka untuk berjaya dan menjawat jawatan profesional seperti doktor, peguam, akauntan dan sebagainya apabila menamatkan pengajian.
``Tidak semestinya hanya dengan kerjaya disebutkan sesorang itu boleh menaikkan taraf hidup keluarga. Kemahiran tinggi jika dikuasai turut membolehkan anak-anak berupaya menjana pendapatan lumayan,’’ ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi bual bicara bersama para pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.
Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Prof. Madya. Dr Tengku Sepora Tengku Mahadi.
Beliau turut berkata, pakar kimpal misalnya berupaya menjana pendapatan sehingga mencecah RM10,000 sehari jika berupaya menjalankan kerja-kerja kimpalan bawah tanah, begitu juga chargeman yang boleh mempunyai gaji sehingga RM6,000 sebulan.
``Penguasaan kemahiran tinggi kini menjadi satu keperluan buat negara untuk mengisi banyak peluang pekerjaan. Malaysia menyediakan banyak peluang untuk pekerja kolar biru dan belia pada hari ini adalah prospek negara untuk masa depan,’’ katanya.
Nor Mohamed turut menegaskan, penguasaan bahasa Inggeris juga perlu dititikberatkan memandangkan penggunaan bahasa tersebut kian meluas termasuk dalam kalangan negara-negara seperti Burma, Vietnam, Korea Utara dan sebagainya yang sangat kurang dalam menguasai bahasa asing itu.
``Kemahiran berkomunikasi dalam pelbagai bahasa khasnya bahasa Inggeris turut memberi kelebihan buat seseorang bagi mengembangkan karier ke peringkat lebih tinggi khususnya ke persada antarabangsa,’’ jelas beliau.
Beliau yang turut mempunyai pengalaman luas memacu bidang ekonomi negara dan menjawat jawatan penting sebagai Menteri Kewangan Malaysia menasihatkan para pelajar untuk menggunakan peluang berada di menara gading dengan sebaik mungkin.
``Masa di Universiti adalah satu fasa yang amat menyeronokkan. Tidak salah untuk bergembira namun mahasiswa perlu juga mengutamakan proses mempelbagaikan kemahiran dan meneroka pelunag untuk meningkatkan kualiti akademik masing-masing,’’ katanya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1165