USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SOKONG USAHA PERKASAKAN JABATAN KESELAMATAN

IMG 4863

PULAU PINANG, 2 Mei 2014 - Semua pihak seharusnya menyokong usaha memperkasakan Jabatan Keselamatan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam menghadapi pelbagai cabaran besar yang dihadapi sekarang ini.

Demikian kata Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman memberi amanat di Majlis Penyerahan Tugas Pengarah Jabatan Keselamatan USM di sini petang ini.

IMG 4852

“Saya tahu dan sedar bahawa semua yang berada di Jabatan Keselamatan USM telah bekerja keras dan berusaha dengan cukup baik, tetapi pada masa yang sama, cabaran keselamatan dan kesejahteraan kampus juga semakin besar dengan kecekapan mereka yang ingin mengambil kesempatan dan melakukan jenayah juga bertambah pintar,” kata Naib Canselor.

Kerana itu, tambahnya lagi, semua pihak perlu menyokong usaha ini apatah lagi dengan kesediaan Pengarah Keselamatan yang baharu Profesor Madya Dr. P. Sundramoorthy yang begitu “passionate” dan sedia berkorban untuk merealisasikan kepakaran yang ada padanya.

“Ini adalah pengorbanan besar Sundramoorthy yang memerlukan beliau mengimbangkan di antara tugas sebagai seorang ahli akademik dengan sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan yang tentunya bukan mudah untuk dilakukan,” jelas Naib Canselor.

IMG 4836

P. Sundramoorthy, 53, adalah pakar dalam bidang kriminologi yang sering menjadi rujukan pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta terlibat menjalankan pelbagai kajian tentang jenayah dan kepolisan di negara ini di samping melakukan penyelidikan tentang persepsi awam terhadap polis. Beliau juga menyumbangkan kepakarannya dengan mengajar di universiti di Amerika Syarikat dan Jepun sebagai profesor kunjungan.

Naib Canselor turut menjelaskan tentang penubuhan Majlis Keselamatan dan Kesejahteraan Universiti (MKKU) yang dipengerusikannya sendiri untuk melengkapkan usaha pemerkasaan keselamatan dan kesejahteraan USM yang juga akan membantu meningkatkan kecekapan dan ketelusan pentadbiran USM secara berterusan.

IMG 4812

“Saya ingin mengucapkan selamat bersara kepada Tuan Hj Mhd Ramli Mehat dan mendoakan agar maju jaya dan terus bersama membantu menjayakan pelbagai aktiviti universiti malah kita berbangga kerana beliau telah berjaya merintis jalan dan hala tuju Jabatan Keselamatan yang akan diteruskan oleh Dr. P. Sundramoorthy nanti,” tambah Omar.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Dr. P. Sundramoorthy kerana menyambut cabaran semasa dalam pelbagai isu keselamatan yang melebihi tahap yang kita jangkakan yang memerlukan kita lakukan transformasi melangkaui apa yang kita bayangkan selama ini dengan melakukan perubahan untuk meningkatkan kecekapan selaras dengan usaha menjadikan universiti sebagai Rumah Kita.

“Dengan kepakaran yang dirujuk oleh pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia dan jaringan yang ada akan menjadikan usaha pemerkasaan Jabatan Keselamatan dapat dilakukan sebaik yang mungkin demi kesejahteraan seluruh warga Universiti,” kata Omar.

Terdahulu, Ramli mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Universiti yang telah memberi peluang kepada beliau menerajui Jabatan Keselamatan selama kira-kira 2 tahun.

“Saya telah berusaha menggembleng segala sumber yang ada dengan sebaik mungkin untuk kesejahteraan warga USM serta  ingin agar warga USM sentiasa rasa selamat walau pun seikhlasnya saya tidak mencapai sepenuhnya apa yang saya hasratkan yang saya harap Pengarah baharu dapat teruskannya nanti,” kata Ramli.

020514-12

Ramli mula bertugas sebagai Penolong Pendaftar di Pusat Teknologi Pendidikan dan Multimedia pada tahun 1983 dan bertukar ke beberapa jabatan lain, dinaikkan pangkat  sebelum bertugas di Jabatan Keselamatan USM. Beliau bersara selepas 32 tahun memberikan perkhidmatannya kepada USM.

Sementara itu Sundramoorthy pula berkata beliau amat berbangga berkhidmat sebagai warga USM yang telah 20 tahun di sini dan kini berpeluang pula untuk merealisasikan kepakaran yang ada.

“Saya harap kepercayaan ini dapat dipenuhi untuk seluruh warga USM sambil meneruskan kerja baik yang dilakukan oleh semua Pengarah Jabatan Keselamatan sebelum ini termasuk Tuan Haji Ramli Mehat yang tentunya kita amat berbangga dengan semua yang mereka rintis,” katanya.

IMG 4866

Beliau berazam untuk melakukan yang terbaik dalam bidang keupayaan dan kepakarannya dalam menzahirkan kebanggaan terhadap USM selaras dengan citra Saya Sayang USM.

Pada majlis ringkas tersebut, Naib Canselor turut menyampaikan cenderamata khas kepada Hj. Mhd. Ramli Mehat, juga plak dari Yayasan Cegah Jenayah Malaysia serta penandatanganan penyerahan kunci Jabatan Keselamatan dan menyaksikan penyerahan tugas secara rasmi kepada Pengarah Keselamatan baharu USM.

Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1344

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024