USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MENGENANG AHLI AKADEMIK MANSOR AHMAD SAMAN

20140502 172419

PULAU PINANG, 2 Mei 2014 - Penulis sangat teruja menemui beliau secara tiba-tiba di Jabatan Keselamatan USM petang ini. Kebelakangan ini saya tertanya-tanya ke mana hilangnya beliau selama ini.Mansor Ahmad Saman, 65, adalah pensyarah popular yang disayangi ramai pelajar komunikasi.

Siapa boleh lupa Tuan Mansor yang mengajar kewartawanan di PP Komunikasi di antara tahun 1974 - 2005. Antara pelajarnya ialah Pengerusi Utusan Melayu (M) Bhd sekarang ini.

Beliau adalah antara kumpulan pertama pelajar USM dalam pengajian Kemanusiaan USM di antara tahun 1970-1973, bersama-sama Profesor Dato' Dr Syed Ahmad Hussein dan Dr. Hamima Dona Mustafa sebelum melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat pada tahun 1974 dan dipanggil untuk mengajar apabila universiti kekurangan pensyarah pada tahun 1975.

Mansor Ahmad Saman terkenal sebagai penulis pojok atau kolumnis dengan nama pena TS Lanang. "Saya guna nama TS Lanang sebab tidak mahu nama Tun Seri Lanang penulis Sejarah Melayu dilupakan," kata Mansor.

Suratnya kepada Sasterawan Baharuddin Zainal atau Baha Zain yang ditulisnya hampir 200 halaman menggunakan mesin taip diterbitkan dengan judul Surat TS Lanang kepada Baha Zain kekal sebagai surat terpanjang pernah ditulis.

20140502 172429

"Saya bosan ketika itu dan tak tahu nak bercakap dengan siapa, lalu saya tuliskan surat itu," katanya sambil ketawa.

Tulisan beliau yang sinis dan bernas banyak terbit dalam majalah Dewan Masyarakat, Utusan Melayu jawi dan Berita Harian.

Mansor Ahmad Saman atau Tuan Mansor adalah seorang yang banyak berjasa. Budinya tetap dikenang. Beliau adalah antara peneroka berjasa Menara Ilmu ini. Orang berbudi kita berbahasa. Pengorbanannya jangan dilupa. Jasanya terpahat ditinta emas universiti tercinta.

Saya Sayang USM. 1USM.

Teks dan Foto: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1837

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024