PELAJAR USM DEKATI MASYARAKAT RASAI DERITA LARA
Cuti umum Hari Pekerja 1 Mei lalu dimanfaatkan sepenuhnya sekumpulan sembilan orang pelajar yang sedang mengikuti pengajian Sains Kesihatan dan Sains Perubatan dari Pusat Rancangan Kokurikulum, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menziarahi insan kurang bernasib baik di kawasan berhampiran.
Anak-anak muda ingin melihat dan merasai dari dekat erti kesusahan hidup, kepayahan dan nasib sebahagian kita yang melaluinya dengan tabah. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Anak-anak muda ini merasai sendiri kisah derita dan duka lara sebuah keluarga di Kampung Pangkal Pisang, Peringat, Kelantan yang begitu meruntun jiwa sesiapa pun yang mengenali dan melihatnya.
Mereka berteduh di kediaman usang yang pada bila-bila masa sahaja boleh runtuh menyembah bumi. Jika hujan turun, tiada tempat untuk melindung diri dari basah.
Ketua keluarga tujuh beradik ini, Zahari Md. Salleh yang berusia 50-an hanya bekerja kampung, mengambil upah melakukan apa yang ada di sekitar kampung. Isterinya Habisah Ismail adalah pesakit diabetik yang kronik, sudah tidak mampu bergerak sendiri, hanya berada di rumah.
Anak-anak seramai 7 orang. Yang sulung laki-laki bekerja mengambil upah membuat rumah dan telah beristeri. Isterinya tidak dapat menghabiskan pengajian di sebuah universiti kerana ingin menguruskan keluarga.
Di samping 7 orang anak, Zahari turut menjaga anak saudara berusia dalam lingkungan 10 tahun yang telah tidak bersekolah. Ibu bapa anak malang ini bercerai dan hidupnya terbiar.
"Apa pun terjadi, saya akan menjaganya kerana dia daging darah saya," kata Zahari.
Dugaan Tuhan bertambah. Satu-satunya puteri bongsunya Nur Syazana Zahari, 7, disahkan mengidap penyakit caudal regression syndrome, sejenis penyakit yang menyebabkan kecacatan tulang belakang dan pengidapnya akan mengalami masalah pergerakan yang terbatas berbanding insan normal.
Nur Syazana atau lebih mesra dengan panggilan Ana adalah seorang kanak-kanak yang periang dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja, walaupun baru dikenali. Berlainan dengan kanak-kanak lain seusianya, pergerakan Ana begitu terbatas dan perlu dibantu hampir setiap masa. Tangan yang digunakannya untuk menyuap makanan itulah juga digunakannya untuk berjalan. Kebanyakan masanya dihabiskan di dalam rumah dan hanya dibawa keluar oleh keluarganya untuk ke sekolah, hospital atau urusan-urusan lain yang mustahak sahaja.
Menyedari akan peri pentingnya pendidikan demi masa depan, keluarga ini nekad menghantar Ana ke sekolah walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
Ana kini belajar di sekolah biasa berhampiran kediaman keluarganya dalam Darjah 1. Fizikal Ana yang membataskan pergerakan merupakan cabaran besar untuk bersekolah, apalagi di sekolah biasa dengan kemudahan yang sangat terhad bagi kanak-kanak istimewa seperti Ana.
Walau bagaimana pun, ia tidak menjadi alasan untuk Ana tercicir daripada pelajaran. Berkat dorongan semangat daripada ahli keluarga, sokongan warga sekolah serta masyarakat setempat, terutama seorang saudaranya yang sentiasa membantu pergerakan dalam kawasan sekolah, Ana kini telah mula menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira.
Kunjungan anak-anak muda USM ini sedikit sebanyak menyuntik semangat keluarga ini. Senyuman terukir di bibir Ana, ibu bapa dan keluarganya tatkala menerima kehadiran tetamu walau untuk seketika cuma.
Anak-anak muda ini berganding bahu membersih dan mengemas sekitar kediaman, seterusnya bersama-sama memasak juadah makan tengah hari menyerlahkan jiwa mahasiswa gagasan baru. Ternyata modal insan bakal pemimpin masa hadapan ini terdidik dengan budi bahasa yang luhur serta tidak lokek mengerah keringat untuk membantu golongan yang tidak berdaya. Sepanjang pagi hingga awal petang dirasakan begitu sekejap.
Kunjungan berakhir dengan makan tengahari bersama Ana sekeluarga. Tangan bersalaman menyambut tiba, tangan yang sama melambai tatkala rombongan para pelajar USM melangkah pulang dari kediaman keluarga malang ini.
Sayu menerjah lubuk hati tatkala memandang wajah keanakan Ana menguntum senyum. Semoga tabah meneruskan hari-hari mendatang. Didoakan Ana sekeluarga sentiasa dalam peliharaan-Nya.
Mereka meninggalkan kediaman keluarga Zahari dengan penuh keinsafan, ingin datang lagi untuk menziarahinya dan berfikir bagaimana untuk membantu mengeluarkan mereka dari kesedihan ini.
Yang penting membantu menyelamatkan anak-anak kecil dari keciciran sekolah dan generasi mereka seterusnya dapat merasai nikmat kemerdekaan tanah air tercinta. Bagaimana untuk terus membantu agar mereka dapat menghadapi cabaran masa hadapan, berdikari dan tidak lagi mewarisi kehidupan yang ada sekarang ini.
Semua ini bermain di fikiran mereka ketika melangkah pulang ke kampus yang hanya terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari kediaman keluarga ini. TEKS ASAL/FOTO: Amyrulhan Azhari, PP Sains Perubatan. SUNTINGAN: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1349