USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TRANSFORMASI GAYA HIDUP HALAL BERMULA DARI QALBU

050514-10

MEDAN, Indonesia 5 Mei 2014- Transformasi gaya hidup halal seharusnya bermula dari qalbu yang seterusnya akan membawa kepada pembangunan lain dalam keseluruhan hidup seseorang individu dan ummah seluruh.

Demikian dinyatakan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dalam Ucap Utamanya dalam Persidangan Antarabangsa Pembangunan Berteraskan Islam Ke-6 (The 6th International Conference on Islamic Development (ICID2014)  anjuran Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) dan Pusat Kajian Pengurusan dan Pembangunan Islam (ISDEV) USM di Hotel Madani, Medan, Indonesia hari ini.

Persidangan ini dihadiri oleh kira-kira 150 orang peserta termasuk para pelajar ISDEV dan UMSU.

Hadir sama ialah Pengarah ISDEV, Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh.  Beliau turut membentang kertas kerja bertajuk Halal dari Perspektif Ekonomi. Turut membentangkan kertas kerja ialah Profesor Dr. Nawir Yuslem dari Institusi Agama Islam Negeri Medan yang bertajuk Halal dari Perspektif Agama dan Profesor Dr. Farid Wajdi M.Hum dari UMSU yang membentangkan kertas kerja bertajuk Halal dari Perspektif Hukum.

IMG 20140505 165817 -1742615218

Turut membentangkan kertas kerja ialah  Profesor Dr Basaruddin LPPOM-MUI Sumatra Utara yang bertajuk Halal dari Perspektif Manajmen.

Pada majlis tersebut Naib Canselor USM  menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan UMSU yang ditandatangani oleh Rektornya Dr. Agussani untuk kerjasama akademik, pertukaran pelajar dan penyelidikan di antara kedua-dua pihak.

Naib Canselor turut dipakaikan dengan "Ulos UMSU" oleh Rektor UMSU sebagai tanda penghormatan tertinggi UMSU kepada USM.

Menjelas lanjut tentang tranformasi gaya hidup halal dalam Ucap Utamanya, Omar berkata, usaha  ini juga berkait dengan transformasi cabang-cabang agama, ekonomi, sains, perundangan dan konsumerisme malah yang paling penting adalah transformasi yang bermula dengan qalbu.

Tambah Omar, justru Universiti sebagai sebuah institusi ilmu perlu memainkan peranan dalam melakukan transformasi ini yang seterusnya dapat membentuk peribadi mulia yang akan membawa kepada perubahan-perubahan lain yang dilakukan, sama ada dalam pengurusan, pentadbiran dan membawa kepada pembangunan ekonomi, sosial dan masyarakat seluruhnya.

IMG-20140505-WA0013

“Misalnya transformasi qalbu ini perlu berlaku melalui pemakanan yang halal dalam membentuk jiwa insan dalam mendapatkan petunjuk dan hidayah Tuhan, menghindarkan dari pelbagai penyakit hati seperti pemarah, panas baran, ego dan berbagai-bagai lagi,” tambah Omar lagi.

Ini akan membawa kepada usaha-usaha lain termasuk pembangunan industri halal yang berupaya mempengaruhi gaya hidup yang halal di dalam masyarakat dengan memanfaatkan bilangan umat Islam di seluruh dunia yang kini berjumlah kira-kira 2.04 bilion orang, meliputi 28.26% jumlah manusia di dalam dunia ini dengan bilangan besar di benua Afrika iaitu  581 juta umat Islam, benua Eropah 56 juta  dan beberapa benua lain yang mencatatkan jumlah yang agak besar.

Universiti boleh turut memainkan peranan dalam penyelidikan dan penghasilan produk halal mengikut syarak dalam meningkatkan keupayaan dan kapasiti yang ada di samping menghasilkan ilmu-ilmu dan produk baharu dalam memenuhi keperluan pasaran.

Malah ia bukan sekadar kaitan rapat dengan nilai ekonomi tetapi juga nilai-nilai keinsanan yang berteraskan gaya hidup halal termasuk budaya seperti mana yang dilakukan oleh kebanyakan budaya popular hari ini.

IMG-20140505-WA0017

“Kita tidak mahu pengusaha yang hanya memikirkan perihal keuntungan sahaja, kita juga tidak mahu ahli sains yang hanya pandai mengesahkan status halal sesuatu produk namun tidak mampu menterjemahkan halal itu dalam konteks kehidupan semasa, bukan sekadar mengoptimumkan keuntungan tetapi lebih utama menitik beratkan kepentingan gaya hidup yang halal,” tegas Naib Canselor lagi.

Untuk mencapai hasrat ini, Omar menyarankan agar dua aspek diberikan perhatian utama iaitu pengurusan qalbu dalam konteks tazkiah al- nafs (proses penyucian diri) dan yang kedua adalah pentingnya usaha dakwah yang berterusan sebagai asas dalam usaha membina gaya hidup halal.

050514-14

Malam tadi, Naib Canselor USM dan rombongan ISDEV turut diraikan dalam Majlis Makan Malam yang dihadiri oleh Rektor UMSU Dr. Agussani, Ketua Kepimpinan Wilayah Muhammadiyah Profesor Dr. Asmuni, Timbalan-timbalan Rektor dan kepimpinan tertinggi UMSU.

Omar turut memberikan tazkirah subuh kepada para peserta.

Esok, Naib Canselor juga akan memberi ucapan di UMSU yang bertajuk "The Education Transformation: Malaysian Experience." Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Sumbangan Naib Canselor

  • Created on .
  • Hits: 1199

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024