USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PHS BANTU MASYARAKAT KEMBOJA

060414-10

Perpustakaan Hamzah Sendut (PHS) Universiti Sains Malaysia (USM) telah menjalankan beberapa siri program jaringan masyarakat di tanahair seperti PHS@Chemor, PHS@Koperasi Tadika Minden, PHS@Tadika Lestari Ilmu, PHS@Al Itqan dan kini telah melebarkan sayapnya atas misi yang sama ke luar negara iaitu PHS@Kemboja: Reaching the Bottom Billions.

Objektif utama program tersebut adalah untuk membangunkan perpustakaan di salah sebuah sekolah di Kampung Poti In, Kampong Cham, Kemboja. Misi ini telah disertai oleh 10 orang staf PHS dan mereka membawa 132 buah bahan bacaan dari Malaysia untuk ditempatkan di perpustakaan tersebut.

“Bukan mudah berada di tempat orang, tambahan pula sebaik tiba di Phnom Penh kami terus bergegas membeli rak buku untuk perpustakaan tersebut dan kemudian menempuh perjalanan selama 3 jam ke kampung Poti In melalui jalan kampung yang berliku,” kata Ketua Bahagian Perhubungan Pelanggan PHS, Radia Banu Jan Mohamad.

060514-11

“Setibanya di Kampung Poti In, kami disambut meriah oleh penduduk kampung yang turut mengadakan kenduri akikah pada hari tersebut. Peluang bermalam di rumah ketua kampung merupakan pengalaman yang sukar dilupakan di samping berpeluang mempelajari budaya masyarakat setempat yang nyata tidak jauh bezanya dengan budaya masyarakat Melayu di Malaysia,” tambah Radia Banu.

Antara aktiviti yang dijalankan di sana ialah memasang rak buku dan mengklasifikasikan buku-buku tersebut mengikut tema yang bersesuaian serta gotong-royong membersihkan perpustakaan dengan bantuan para guru dan pelajar Sekolah Agama An Nikmah, Kampung Poti In yang mempunyai lebih kurang 300 orang pelajar.

Program sebegini selari dengan misi dan visi USM untuk membantu golongan terkebawah bukan sahaja di negara sendiri malahan di mana sahaja.  

“Selain misi membangunkan perpustakaan, PHS juga turut mengambil peluang mengumpul dana untuk membekalkan air bersih ke kampung berkenaan melalui pembinaan perigi dan juga saluran pam air.

“Alhamdulillah, sebanyak 33 buah perigi dan pam air telah dihadiahkan kepada penduduk kampung hasil sumbangan dari Malaysia,” kata salah seorang peserta.

Misi ini sekadar sebuah permulaan dan sudah pasti ia tidak berakhir di sini. PHS akan terus berusaha mendapatkan dana untuk menambahbaik perpustakaan tersebut selain menambah koleksi bahan bacaan sedia ada dari masa ke semasa.

“Saya menyeru kepada semua warga USM dan juga sesiapa yang ingin membantu samada sumbangan bahan bacaan atau lain-lain untuk hubungi pihak kami kerana program sebegini akan dijalankan secara berterusan,” kata Radia Banu.

 060514-1

Sebelum ke Kemboja PHS turut membantu Sekolah Rendah Al-Itqan, Teluk Kumbar Pulau Pinang iaitu sekolah agama swasta yang menyediakan pendidikan agama dan subjek lain kepada pelajar Pulau Pinang dan juga dari negeri-negeri lain.

Program tersebut telah dijayakan oleh seramai 20 orang staf PHS yang dibahagikan kepada kumpulan keceriaan (cat, mural dan susun atur) dan kumpulan sistem (pembangunan sistem dan pengkatalogan buku).

Secara keseluruhan, program-program PHS telah berjalan lancar dengan bantuan dan sokongan pihak pengurusan tertinggi PHS. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Sumbangan PHS

  • Created on .
  • Hits: 901

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024