USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USAHA MENZAHIR PERKHIDMATAN AWAM BERPRESTASI TINGGI

060514-20

PULAU PINANG, 6 Mei 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) berusaha untuk menzahirkan segera pentadbiran yang berlandaskan kepada perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi.

Ini bermakna USM ingin melahirkan para pegawai dan pentadbir yang boleh menjadi model dalam memastikan peningkatan dalam kecekapan tugas dan keberkesanan kos, mengamalkan urus tadbir yang baik dan berupaya menghadapi cabaran-cabaran yang ada pada masa hadapan pada semua peringkat.

Pendaftar USM Siti Zubaidah A. Hamid berkata, usaha ini amat penting kepada universiti sebagai sebahagian dari agensi berkanun awam yang sentiasa relevan dan mampu menghadapi pelbagai gelombang perubahan yang berlaku dalam setiap urusan yang ada dari urusan pentadbiran dan pengurusan di pusat pengajian, pusat dan unit mahu pun jabatan yang berkait rapat dengan pengurusan sumber manusia, akademik, penyelidikan dan inovasi, hal-ehwal dan pembangunan pelajar, jaringan industri dan masyarakat dan sebagainya.


"Kita juga ingin melahirkan perkhidmatan awam yang kejat yang perlu dibetulkan konsep dan kefahamannya kerana ia bukanlah semata-mata usaha mengurangkan kakitangan atau membuang pekerja tetapi perlu dilihat secara lebih luas sebagai satu usaha untuk meningkatkan keberkesanan tugas dan kecekapan termasuk melihat kepada proses kerja," kata Siti Zubaidah.

Tambahnya lagi, usaha menzahirkan pentadbiran awam yang berprestasi tinggi juga perlu melihat kepada keperluan untuk mempunyai pemimpin yang dinamik secara holistik dengan memastikan pengurusan dan pentadbiran pusat tanggungjawab (PTJ) berjalan dengan baik.

060514-21

Malah universiti berusaha untuk menghasilkan modal insan berkualiti yang dibina dengan pelbagai cara termasuk menghantar berkursus dan meningkatkan keupayaan diri mereka melalui kursus pendek dan sebagainya.

"Kerana itu juga, Universiti melalui Bahagian Pembangunan Sumber Manusia melakukan pertukaran kakitangan di antara PTJ pada setiap lima tahun walau pun kadang-kadang dihalang oleh pelbagai pihak dan sebab yang kini memerlukan ketegasan dalam melaksanakannya," kata Siti Zubaidah.


IMG 4979
Beliau bercakap kepada kira-kira 100 orang pegawai dan kakitangan kumpulan sokongan dalam Sesi Dialog Staf Pentadbiran Bukan Akademik Bersama Pendaftar yang berlangsung di Dewan Persidangan Universiti.

Pendaftar turut menyentuh tentang keperluan universiti untuk melahirkan lebih ramai pegawai dan kakitangan sokongan yang mampu memimpin sebagai pemimpin transformasi atau "transformational leadership" yang juga berfikiran taktikal dan strategik, sentiasa mempunyai "sense urgency", mampu mentadbir PTJ secara menyeluruh malah sentiasa menjaga kebajikan rakan-rakan lain.

"Kita juga sedang mengkaji semula inisiatif nyahpusat yang dibuat sebelum ini terutamanya dalam aspek pengurusan sumber manusia yang jika didapati perlu boleh dibuat perubahan yang sewajarnya bagi memenuhi keperluan yang ada,” kata Siti Zubaidah lagi.

Beliau turut menasihatkan para pegawai dan penyelia untuk menjadi contoh atau “role model” kepada mereka yang diselia, menjaga disiplin dan mengelakkan dari perbuatan-perbuatan yang tidak wajar termasuk membuang masa di luar kampus tanpa ada keperluan rasmi, mengelakkan daripada menggunakan media sosial dengan mendedahkan aktiviti dan dokumen sulit atau hal-hal lain yang tidak sewajarnya dibuat.


IMG 4928
Pada majlis yang sama, Siti Zubaidah turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM14,806 hasil sumbangan warga kampus kepada balu kakitangan Jabatan Keselamatan Allahyarham Norizan Hanafiah, Suraya Ramli.

Suraya yang hadir bersama empat orang anak berumur antara 5-18 tahun berasa sungguh terharu dengan sumbangan tersebut.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga kampus yang membantu keluarga saya walaupun arwah baru bekerja selama enam bulan semasa kejadian tersebut sebagai staf tetap di Jabatan Keselamatan USM,” luah Suraya.

Allahyarham meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 15 Julai 2013 selepas lebih 12 jam koma. Allahyarham pada ketika itu dalam perjalanan ke Kampus Induk dari rumah beliau di Sungai Lalang, Sungai Petani.

IMG 4949

Suraya yang hanya memperoleh sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM400 sebulan juga berdoa semoga anak-anak beliau mendapat pendidikan yang sempurna serta dapat membantu beliau menguruskan rumah tangga kerana beliau menghidap penyakit asma dan darah tinggi. Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1158

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024