MINATNYA KEPADA DUNIA KEWARTAWANAN
KUALA LUMPUR, 8 Mei 2014 - Bercakap tentang dunia kewartawanan dengannya seolah-olah melihat sebahagian dari lembaran sejarah negara dan dunia. Selama 30 tahun bergelumang dengan dunia pemberitaan membolehkannya melihat dari dekat rentetan pelbagai peristiwa yang berlaku.
Malah dia turut menjadi saksi kejatuhan bekas Presiden Filipina Ferdinand Marcos yang ketika itu sekitar tahun 1984-85 bertugas sebagai Ketua Biro Bernama di Manila.
Kuah Guan Oo, 65, merupakan kumpulan pertama Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1973 bersama-sama antara yang diingatinya Dr. Hamima Dona Mustafa dan Mansor Ahmad Saman.
Namun tiga orang terlibat dalam dunia kewartawanan termasuk dirinya.
"Seorang lagi ialah Ramli Ibrahim di NST dan seorang lagi wanita yang saya sudah lupa namanya," kata Kuah.
"Kami mula mengikuti pengajian di Maktab Perguruan Persekutuan dan pada tahun kedua baharulah berpindah ke kampus Minden, yang sangat akrab serta saling kenal mengenali kerana kumpulan yang kecil pada masa itu," ceritanya ketika bertemu penulis di studio Bernama TV di Kuala Lumpur.
Dia yang sudah mempunyai dua orang anak dan dua orang cucu sangat mengingati kampus USM, "Durian Valley" dan "Chancellory Lovers Rock yang mengimbau banyak kenangan manis bersama sahabat-sahabatnya di USM.
Kuah meniti pelbagai kejayaan sepanjang 30 tahun berkhidmat dengan Bernama antara 1975 hingga 2005 terutamanya berada di meja berita dan rencana antarabangsa yang membawanya mengikuti pelbagai peristiwa dan membuat liputan hampir di seluruh dunia.
"Saya mengikuti hampir keseluruhan aktiviti bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sejak menjadi Perdana Menteri sehingga meninggalkan jawatan tersebut sebagai seorang negarawan," kata Kuah.
Selepas meninggalkan Bernama dia bekerja secara kontrak dengan Radio Televisyen Malaysia kemudiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia dan di Universiti Putra Malaysia yang membolehkannya terus menulis dan menyumbang untuk pembangunan laman sesawang dan portal berita dengan terus menulis.
"Saya percaya anak-anak muda kita mampu meneruskan legasi pemberitaan yang baik jika diberi peluang dan dibimbing dengan sewajarnya," kata Kuah tentang mahasiswa dan usaha mengetengahkan bakat baharu. Teks dan Foto: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1049