MINATNYA PADA DUNIA PERHOTELAN WALAU BERKELULUSAN BIOLOGI
Bagi Mohd Faiz Pahmi, 30, anak kelahiran Ipoh Perak, Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Biologi) dalam Entomologi (kaji serangga) dari Universiti Sains Malaysia (USM) dengan para pensyarah yang sentiasa diingatinya seperti Profesor Dr. Zairi Jaal, Profesor Dr. Lee Chow Yang, Profesor Dr Abu Hassan dan Profesor Dr Salmah pada tahun 2007 tidaklah sia-sia walau pun minatnya lebih kepada kerjaya dalam bidang perhotelan.
"Ia masih berguna kepada saya dan pengetahuan itu banyak membantu dalam menguruskan kerja-kerja sebagai Penolong Pengurus Eksekutif "Housekeeping" di The Club Saujana Resort Subang sejak tahun 2008.
Minatnya bermula sejak di Universiti lagi kerana sering bekerja semasa cuti di Hotel Heritage Ipoh yang terletak berhampiran rumah kedua ibu bapanya.
"Namun saya mula serius secara tidak sengaja apabila membantu pensyarah membuat penyelidikan di Langkawi dan kagum dengan hotel enam bintang Hotel Four Season dan saya teringin sangat bekerja di sini, lalu kebetulan pula terbaca iklan untuk belajar sebelum kerja yang ditawarkan hotel tersebut," kata Mohd Faiz.
Dia lalu memohon dan diterima belajar di Taylors College yang menawarkan kursus yang berkaitan dengan hotel tersebut dan kemudiannya diterima bekerja di situ.
"Saya juga telah lulus semua ujian untuk menjadi Pegawai Tadbir dan Diplomatik ketika itu tetapi tidak mahu teruskan kerana lebih berminat dengan hotel," katanya lagi.
Selepas bekerja dengan Hotel Four Season, dia kemudiannya diterima bekerja dengan The Club Saujana. Dia berhenti seketika kerana berpeluang bertugas di Kedutaan Malaysia di Berlin sebagai pengurus rumah kedutaan selama setahun sebelum bekerja di Mecca Clock Royal Tower Arab Saudi dan kemudiannya ke Abu Dhabi sebelum pulang ke tanah air dan kembali bertugas dengan The Club Saujana.
"Ayah pernah tegur dan kecewa dengan saya dan berkata sampai bila saya akan bekerja mencuci tandas yang merujuk kepada kerja housekeeping hotel," kata Mohd Faiz.
Namun itu tidak melemahkan semangatnya kerana cita-citanya untuk mendaki kedudukan lebih tinggi seperti mana ketuanya yang bermula dari bawah.
Mohd Faiz adalah anak ketiga dari sembilan beradik, anak kepada dua orang guru merujuk kepada kerjaya kedua-dua ibu bapanya.
"Saya bersyukur kerana kerjaya saya memberi peluang untuk saya terokai dunia dan lakukan apa yang saya suka dan mempunyai minat mendalam serta yang penting perlu terus memandang ke hadapan untuk berjaya, bekerja keras, secara pintar dan bijaksana, bersikap rendah diri, menghormati orang lain dan passionate dengan apa yang dilakukan," katanya merumus resepi kejayaannya dalam dunia kerjaya yang dihadapi.
Tambah Mohd Faiz lagi, seseorang perlu tahu apa yang diinginkannya dan perlu berusaha mencapainya di samping berusaha dari bawah dan bekerja sebagai satu pasukan untuk terus berjaya. Teks dan Foto: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 914