"SAYA INGIN KEMBALI," KATA SHERKAWI
Melihat beliau mengendalikan program bual bicara Bernama TV Ruang Bicara secara langsung dengan kepetahan bertanya soalan, mengupas dan mengulas isu yang dibincangkan oleh panel terserlah pengalaman luasnya dalam penyiaran di layar televisyen.
Sikap bersahaja, sesekali membuat provokasi untuk mendorong panel bercakap dan mengemukakan soalan secara spontan, tergambar profesionalisme dan pengetahuan mendalam yang ada padanya.
Namun, beliau lebih teruja apabila bercakap tentang Universiti Sains Malaysia (USM) yang memberikannya bekalan ilmu berguna untuk memulakan langkah kerjaya awalnya.
Beliau sangat berharap untuk kembali ke kampus yang telah ditinggalkannya bertahun-tahun dahulu untuk memberikan sumbangan apa yang boleh termasuk ilmu dan pengalamannya kepada anak-anak muda yang ada.
"Bukan wang ringgit yang saya kejar, walau pun saya bukanlah orang berada, tetapi perasaan ingin memberikan apa yang ada kepada Universiti selagi mampu dan dalam upaya yang tersisa," demikian harapan besar seorang tokoh penyiaran negara Sherkawi Jirim, 62, ketika ditemui di Bernama TV.
"Saya amat berharap, pengalaman luas yang saya lalui dapat dimanfaatkan oleh generasi muda hari ini dan sebagai alumni, saya ingin menyumbang kepada USM," kata Sherkawi dengan penuh semangat.
Sherkawi adalah siswazah komunikasi tahun 1974 USM, kumpulan kedua pengajian komunikasi.
Setelah meninggalkan kampus, beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama lebih tiga tahun yang menjaga kewangan dan kemudiannya bertugas sebagai ketua drama radio di RTM.
Drama No 5 Persiaran 1 adalah antara yang sangat diingati pada zamannya.
"Semasa kecil emak saya bertanya, Sherkawi nak jadi apa nanti dan saya menjawab, nak jadi juruhebah," cerita Sherkawi dalam ketawa mengingati cerita zaman remajanya dan kekaguman kepada bakat-bakat seperti Alahyarham Salim Bachik di Radio Singapura semasa itu.
Kerana itu walau pun berpeluang bekerja dengan Malaysia Airlines System dalam bidang pemasaran yang membolehkannya terbang serata dunia namun tidak bertahan lama kerana beliau kembali kepada dunia penyiaran dengan menyertai TV3 pada tahun 1984 apabila stesyen televisyen swasta itu mula ditubuhkan.
Sherkawi bertugas dengan TV3 sehingga tahun 1992. Beliau pernah dipinjamkan ke sebuah stesyen televisyen Indonesia selama 4 tahun dan memulakan program sukan dengan melatih mereka untuk Sukan Dunia.
Sherkawi sememangnya terkenal sebagai pengulas sukan, tugas dan minat yang dimulainya semasa bertugas di RTM sekitar tahun 1984. Nama beliau sebaris dengan pengulas sukan ternama termasuk Dato' Rahim Razali.
"Alangkah ruginya jika pengalaman bertahun-tahun ini tidak dapat dikongsi di kampus USM yang sangat saya ingati dan ingin sangat kembali," kata Sherkawi.
Walau seorang tokoh hebat dan mempunyai nama dan bakat besar dalam penyiaran tanah air, Sherkawi amat rendah diri, mesra dan mudah didekati. Dalam usia sekarang ini, beliau masih gagah dan tetap petah.
"Saya fikir kita perlu passionate dengan apa yang kita minat dan lakukan yang sehabis upaya kita untuk mencapainya," kata Sherkawi.
Penerbitnya juga santai ketika menerbitkan program bual bicara yang dikelola Sherkawi.
"Berilah apa sahaja topik kepadanya, dia mudah untuk membawa dan mengelolanya dengan siapa pun tetamunya," kata penerbit rancangan bual bicara di Bernama TV kepada penulis.
Di hati Sherkawi ada rindu membara kepada kampus USM. Keinginannya untuk bersama-sama anak-anak muda, melatih dan berkongsi apa yang dilaluinya selama ini harus disambut dengan sewajarnya. Sirih kan tetap pulang ke gagang, apatah lagi bagi alumni USM kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang ini! Masanya tentu akan tiba untuk kembali memenuhi hasrat hati dan impiannya. Teks dan Foto: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 2995