PELAJAR AEROANGKASA LANCAR BELON ALTITUD TINGGI
NIBONG TEBAL PULAU PINANG, 8 Mei 2014 – Sekumpulan pelajar tahun akhir dalam program Rekabentuk Kapal Angkasa, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa (PPKA), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Dekan PPKA, Profesor Dr. Zaidi Mohd Ripin telah melancarkan Belon Altitud Tinggi atau High Altitude Balloon (HAB) kelmarin.
HAB adalah belon tanpa kendalian manusia, diisi dengan gas helium atau hidrogen dan dilancarkan hingga ke lapisan stratosfera iaitu di ketinggian lebih kurang 100000 kaki atau 32 kilometer.
Pelancaran tersebut adalah hasil daripada projek rekabentuk satelit yang diwajibkan kepada pelajar bagi melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran dalam pengurusan, membina pengalaman dalam rekabentuk satelit dan juga menjalankan fabrikasi berdasarkan rekabentuk yang telah dirancang.
“Projek ini telah dimulakan pada April 2013 dan sekali lagi dijalankan bermula September 2013. Ini merupakan projek Belon Altitud Tinggi yang pertama di Malaysia yang melibatkan pengambilan semula beban bayar (payload). Objektif beban bayar untuk projek ini adalah pengambilan fotograf udara dan data saintifik udara,” kata Pensyarah PPKA, Dr Norilmi Amilia Ismail.
Beban bayar untuk misi HAB ini mengandungi dua buah kamera untuk pengambilan gambar horizon bumi, sensor untuk mencerap data fizikal udara dan sebuah GPS untuk menjejaki beban bayar.
“HAB yang dilancarkan hari ini telah berjaya mendarat di lautan iaitu dalam lingkungan 30 kilometer daripada Tanjung Piandang, Kedah. Penerbangan dan penurunan mengambil masa 3 jam 20 minit tanpa sebarang kerosakan dan pelajar akan membuat analisis pada data yang telah diambil,” tambah Norilmi.
Projek tersebut telah membawa pelajar menjangkaui rekabentuk di atas kertas dengan kos yang berpatutan seterusnya merapatkan jurang antara industri dan universiti . Di dalam projek ini, para pelajar bekerja di dalam satu kumpulan untuk membina subsistem satelit yang dapat membawa dan menyokong beban bayar .
“Kami dikehendaki merekabentuk subsistem dari peringkat awal dan melalui beberapa fasa penilaian yang dipraktiskan di industri pembuatan kapal angkasa. Para pelajar juga berpeluang untuk menambah pengetahuan dengan mengadakan lawatan dan kerjasama dengan industri terutamanya Jabatan Kaji Cuaca yang telah banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar dalam pengendalian belon dan pengesahan laluan belon di angkasa,” kata Lim Kah Wee, pelajar tahun akhir PPKA dan Pengarah Projek HAB.
“Selain daripada pihak luar, kami juga mendapat nasihat daripada staf di Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan mendapat bantuan menjalankan ujian termal di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia,” tambah Lim.
Para pelajar juga bekerjasama dengan Syarikat K Foil insulation (Malaysia) Sdn. Bhd yang telah menaja peralatan untuk sistem pengawalan termal dalam beban bayar. Selain itu, pelajar telah berusaha untuk mencari dana sendiri dengan mewujudkan laman penajaan awam (crowd-funding) yang berjaya mengumpulkan sejumlah wang untuk kegunaan projek ini. Teks: Dr Norilmi Amilia Ismail dan Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohamad Danial Shahri dan Yong Check Yoon
- Created on .
- Hits: 2333