USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MALAYSIA JIMAT RM2 BILLION CALON IKUTI PENGAJIAN PHD DALAM NEGARA

SERDANG, 7 Mei 2014 – Kerajaan berjaya membuat penjimatan sehingga RM2 billion apabila 3,897 penuntut yang layak ke luar negara memilih menyambung pengajian doktor falsafah (PhD) di Malaysia.
 
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata penjimatan itu selaras dengan kehendak kerajaan dan kesan positif yang dapat dilihat selepas melancarkan inisiatif Universiti Penyelidikan (RU) pada tahun 2007.
 
Katanya, anggaran tersebut turut dibuat selepas mengambil kira kos perbelanjaan yang terpaksa ditanggung kerajaan antara RM500,000 dan RM1 juta bagi setiap seorang calon PhD yang menyambung pengajian di luar negara.
 
Beliau berkata, RU yang meliputi lima universiti tempatan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terbukti memacu K-Ekonomi selain mempercepatkan pembangunan negara menuju status negara maju menjelang 2020. 
 
'Melalui penubuhannya, RU sehingga 2012 telah melahirkan 6,975 graduan PhD, 2,200 bilangan profesor, selain menyediakan 182,720 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta menjana pendapatan hasil penyelidikan inovasi sebanyak RM1.25 bilion.
 
"Ia turut membolehkan negara melahirkan lebih ramai graduan PhD dan pelbagai penyelidikan yang hebat-hebat. Ia terbukti melalui pelbagai hasil penyelidikan yang dibentangkan dan kita juga berjaya mengenegahkan ramai tokoh ilmuan dalam pelbagai lapangan," ujarnya.
 
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Pameran Kejayaan Lima Universiti Penyelidikan di UPM di sini semalam.
 
Dalam pada itu, pameran yang dikenali sebagai Media Event RU Success Stories siri kedua itu memperlihatkan pencapaian bidang pengajian tinggi dalam pengurusan bakat, selepas siri pertama yang memfokuskan kepada penerbitan.
 
Pameran selama dua hari berakhir hari ini antara lain memaparkan kejayaan RU melahirkan individu cemerlang di bawah subtema kelestarian, keusahawanan, isu alam sekitar, keselamatan makanan serta kesihatan dan kesejahteraan.
 
Pameran tersebut bertujuan menyampikan mesej kepada rakyat mengenai peranan dan sumbangan penyelidikan bermakna oleh RU yang membantu dan pembangunan negara, sekaligus memberi impak kepada industri dan komuniti di Malaysia.
 
Program Media Event RU Success Stories itu diadakan dalam lima siri, bermula di UM dengan tema penerbitan jurnal, UPM (pengurusan bakat), USM (pembangunan dan penyelidikan), UTM (pengkormesialan) dan UKM dalam Impak Ekonomi dan Sosial. Teks dan Foto: Marziana Mohamed Alias 
 
  • Created on .
  • Hits: 923

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024