USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TOT KE-40 USM: MEDAN CUNGKIL BAKAT BARU

DSC 0556

PULAU PINANG, 9 Mei 2014 – Temasya Olahraga Tahunan (TOT) Universiti Sains Malaysia (USM) yang masuk edisi ke-40 pada kali ini bakal memperlihatkan kematangan dalam penganjurannya, termasuk dalam pencarian bakat baru di arena sukan olahraga.

TOT yang menjadi antara aktiviti besar dalam kalendar sukan Universiti telah bermula sejak tahun 1972 dan menjadi gelanggang utama dalam pencarian bakat-bakat sukan USM sehingga ke hari ini.

Temasya yang turut menjadi medan bagi pelajar dan kakitangan USM menyerlahkan bakat olahraga mereka diadakan setiap tahun dan dikelolakan sepenuhnya oleh siswa dan siswi USM.

Kejohanan tersebut bertujuan menggalakkan pelajar dan staf USM menceburkan diri dalam acara trek dan padang. Temasya sukan ini juga memberi pendedahan kepada pelajar ketiga-tiga kampus USM menunjukkan kemahiran dan ketangkasan dalam acara trek dan padang.

Majlis perasmian TOT ke-40 USM akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Abdul Rahman Abbas pada malam ini, 9 Mei di Stadium Olahraga USM.

TOT akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini sehingga 11 Mei dengan menyaksikan persaingan 15 kontijen yang dibarisi kira-kira 4,000 atlet bagi merebut pingat dalam lebih 30 acara balapan dan juga padang selain sekretariat, pegawai temasya, pengadil dan tetamu jemputan.

Antara keunikan dalam penganjuran pada tahun ini adalah pertandingan permainan tradisional meliputi acara tarik tali lelaki dan wanita, perbarisan, khemah terbaik, maskot mesra, kumpulan sorak di samping puluhan acara trek dan padang.

TOT yang tampil dengan motto Together on Track itu akan turut menyaksikan penganugerahan anugerah atlet terbaik lelaki dan wanita yang akan diumumkan pada majlis penutup oleh Pro-Canselor, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur Ahad ini. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1024

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024