USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DISARAN JADI CONTOH TERBAIK TINGKAT MUTU SUKAN

130514-1

PULAU PINANG, 9 Mei 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) diharap dapat menjadi contoh terbaik kepada masyarakat di luar dalam meningkatkan imej sukan bukan sekadar di peringkat Universiti, malah ke peringkat yang lebih tinggi.

Demikian hasrat Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Abdul Rahman Abbas ketika berucap di hadapan ribuan atlet dan sekretariat yang bakal beraksi dalam Temasya Olahraga Tahunan (TOT) ke-40 USM di sini hari ini.

130514-2

Katanya, acara sukan dan rekreasi seperti TOT juga mampu menghidupkan semangat kepimpinan dan ia penting untuk diterapkan dalam semua aspek sebagai sebahagian daripada usaha untuk melahirkan bakal pemimpin kelas pertama yang aktif dan progresif.

Majlis perasmian TOT ke-40 turut dihadiri oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Omar Osman dan Pegawai-pegawai Utama Universiti.

Omar dalam ucapannya pula berkata, TOT yang dikelolakan sepenuhnya oleh siswa-siswi USM telah sekian lama mendokong aspirasi universiti ke arah kecemerlangan bukan sahaja dari segi akademik malah di dalam bidang sukan.

130514-3

Katanya, sejajar dengan status Universiti yang memacu Program pemacuan Untuk kecemerlangan (APEX), penganjuran TOT ini telah membuktikan bahawa USM sudah bersedia untuk mencipta nama bukan sahaja dalam bidang akademik, malah di arena sukan.

Tambah beliau, sepanjang 40 tahun USM menganjurkan sukan tersebut, sudah pastinya telah banyak penambahbaikkan yang dilakukan untuk meningkatkan mutu sukan di peringkat Universiti.

``Pembaharuan dan penambahbaikan yang dilakukan dari tahun ke tahun amat penting bagi melahirkan mahasiswa yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik malahan dalam bidang sukan dan olahraga.

130514-4

``Selari dengan wawasan USM "Mentransformasi Pengajian Tinggi Untuk Kelestarian Hari Esok”, diharapkan TOT ini dapat memupuk nilai-nilai kesamaan, ketercapaian, dan ketersediaan dalam usaha melahirkan mahasiswa yang proaktif,’’ ujar beliau.

Dalam pada itu, TOT akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini sehingga 11 Mei dengan menyaksikan persaingan 17 kontijen yang dibarisi kira-kira 4,000 atlet bagi merebut pingat dalam lebih 30 acara balapan dan juga padang selain sekretariat, pegawai temasya, pengadil dan tetamu jemputan.

130514-5

Antara keunikan dalam penganjuran pada tahun ini adalah pertandingan permainan tradisional meliputi acara tarik tali lelaki dan wanita, perbarisan, khemah terbaik, maskot mesra, kumpulan sorak di samping puluhan acara trek dan padang.

TOT yang tampil dengan moto Together on Track itu akan turut manyaksikan penganugerahan anugerah atlet terbaik lelaki dan wanita yang akan diumumkan pada majlis penutup oleh Pro-Canselor, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur Ahad ini. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 923

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024