USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KOMITED PELIHARA KAWASAN HIJAU, KEKALKAN BIODIVERSITI

 

 

 

IMG 5875

PULAU PINANG, 10 Mei 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) akan memelihara sebahagian kawasan tanah milik institusi itu sebagai kawasan hijau dan mengekalkan biodiversiti hutan untuk pelbagai tujuan khususnya bagi aktiviti penyelidikan.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, tanah seluas 87 hektar atau 250 ekar itu kini dalam fasa penerokaan kepada aktiviti-aktiviti yang berpotensi dijalankan termasuk sebagai kawasan rekreasi yang boleh dimanfaatkan kepada seluruh warga kampus.

Katanya, kawasan yang kaya dengan pelbagai tumbuhan termasuk dusun buah-buahan, kawasan kebun getah dan sebagainya itu kini dinamakan sebagai Taman Rekreasi USM.

IMG 5893

``Kita namakan kawasan ini sebagai Taman Rekreasi bagi menampakkan fungsinya sebagai satu kawasan warisan hijau yang perlu dijaga dan dipelihara.

``USM tidak mahu kawasan ini dibiarkan begitu sahaja dan tidak diuruskan dengan baik. Justeru kita sedang melihat potensi kawasan ini dengan mengenalpasti aset-aset yang ada yang boleh diketengahkan untuk manfaat semua pihak,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bagi memperincikan proses pembangunan Taman Rekreasi USM, selain turut bersama kira-kira 150 pelajar dan pegawai-pegawai utama Universiti menaiki kawasan bukit tersebut untuk kerja-kerja tinjauan.

IMG 5981

Omar juga berkata, USM akan membuat perancangan dengan lebih spesifik dalam Rancangan Malaysia Ke-11 kelak bagi melihat keperluan fasa pembinaan yang sesuai dijalankan di kawasan tersebut.

```Kita juga telah membuat beberapa had kawasan untuk tujuan-tujuan tertentu temasuk perancangan membina asrama dan perumahan pelajar ijazah tinggi, kemungkinannya di bahagian hadapan kawasan tersebut yang disifatkan lebih sesuai.

``Pun begitu, kita akan menghadkan kerja-kerja pembangunan yang tidak diperlukan buat masa ini dan komited mengekalkan kehijauan di situ untuk diwariskan kepada generasi masa depan,’’ katanya.

IMG 5986

Tambah beliau, USM turut mengalu-alukan pembiayaan rakan strategik dari entiti korporat untuk sama-sama membangunkan kawasan tersebut secara lestari, selain menggalakkan para penyelidik dan pelajar memulakan projek agrikultur tanpa menjejaskan keadaan tanah dan biodiversiti di situ.

Katanya lagi, Taman Rekreasi USM juga sangat praktikal dan sesuai untuk tujuan aktiviti riadah dan rekreasi termasuk perkhemahan, latihan pasukan beruniform, latihan fizikal serta pelbagai tujuan lain yang akan ditambah dari semasa ke semasa. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1039

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024