USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TUBUH MAJLIS KESELAMATAN UNIVERSITI UNTUK TANGANI CABARAN BERKAITAN

100514-1

PULAU PINANG, 10 Mei 2014 -  Universiti Sains Malaysia (USM) secara rasmi menubuhkan Majlis Keselamatan dan Kesejahteraan Universiti (MKKU) untuk tangani pelbagai isu yang berkaitan keselamatan secara keseluruhannya yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU).

Hal ini dimaklumkan oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman kepada wakil-wakil media ketika bersama-sama para pegawai dan pengurusan universiti serta para pelajar melancarkan semula Taman Rekreasi USM di sini hari ini dengan meletakkan papan tanda utamanya.

100514-2

“Majlis ini penting dalam menetapkan dasar dan hala tuju keselamatan dalam menghadapi pelbagai isu yang berkaitan, langkah-langkah pencegahan dan membantu meningkatkan kecekapan dan profesionalisme Jabatan Keselamatan USM,” kata Omar.

Naib Canselor turut memperkenalkan Pengarah Keselamatan yang baharu dilantik pada 2 Mei 2014 yang lalu, Profesor Madya Dr. P. Sundramoorthy seorang pakar kriminologi yang banyak terlibat dalam pelbagai usaha peringkat nasional dan antarabangsa dalam bidang pengurusan persepsi kepolisan dan kriminologi dengan pengalaman luas termasuk di luar negara.

100514-3

Majlis tersebut yang bersidang pertama kali pada hari ini dianggotai oleh pengurusan tertinggi universiti yang mewakili pelbagai kumpulan kakitangan dan akan turut melibatkan wakil daripada pelajar dengan dipengerusikan oleh Naib Canselor dan Timbalan Pengerusi MKKU, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar) Profesor Adnan Hussein.

“Saya percaya kita boleh tingkatkan lagi usaha ini termasuk bekerjasama dengan jiran-jiran yang berada di sekitar premis universiti sama ada di Kampus Induk Pulau Pinang, Kampus Bertam, Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal, Kampus Kesihatan di Kubang Kerian, Kelantan mahu pun kampus Sains@USM yang sedang dibangunkan di Bukit Jambul, Pulau Pinang serta Pusat Penyelidikan Samudera dan Pantai di Muka Head, Teluk Bahang,” kata Omar lagi.

100514-4

Naib Canselor menegaskan bahawa USM memandang serius isu-isu keselamatan kampus dan warganya secara keseluruhan termasuk dari segi lalu lintas, kawalan lalu lintas, kehilangan aset, keselamatan bangunan yang boleh membawa kepada berlakunya hal-hal yang tidak diingini terutamanya yang melibatkan seluruh kakitangan dan pelajar yang ada.

Malah, universiti turut memandang berat laporan-laporan yang dibuat melalui status laman-laman sosial dalam kalangan pelbagai pihak tentang hal-hal yang melibatkan isu keselamatan yang sepatutnya dibuat laporan secara rasmi kepada Jabatan Keselamatan jika ia benar-benar berlaku.

100514-6

“MKKU diharapkan berfungsi dengan sewajarnya demi kesejahteraan universiti,,” kata Omar lagi.

Sementara itu, P. Sundramoorthy menyifatkan pelantikannya sebagai satu kepercayaan tinggi universiti terhadap kepakaran yang dimilikinya.

100514-5

“Saya sangat terharu dan mengambil tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin untuk memenuhi amanah dan harapan tinggi Universiti melalui kerjasama rapat dengan semua pihak terutamanya pelajar dan kepimpinan universiti,” kata P. Sundramoorthy. Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md.Isa

 

  • Created on .
  • Hits: 1327

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024