USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

FESKI 2014 MERIAH

110514-1
 
KUBANG KERIAN KELANTAN, Mei 2014  – Festival Kelestarian Islam (FESKI) 2014, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan kerjasama beberapa Pusat Tanggungjawab berlangsung dengan penuh meriah.
 
“Sambutan perasmian FESKI disambut oleh pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana harmoni dan penuh kedamaian termasuk yang bukan beragama Islam,” ujar Pengarah FESKI 2014, Nur Furqan Nordin ketika menyampaikan ucapan aluan beliau.
 
“Elemen kontemporari turut diserapkan dalam program festival kali ini bagi menyesuaikannya dengan peredaran masa serta kehendak muda-mudi sekarang, moga-moga ianya akan memberi impak yang positif kepada semua,” tambah Nur Furqan lagi.
 
110514-2
 
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Islam, Kampus Kesihatan, USM, Dr. Wan Nudri Wan Daud semasa merasmikan program tersebut pula berkata para pelajar perlu lebih pro-aktif melibatkan diri dalam pelbagai lapangan untuk mematangkan diri dan menambahkan ilmu pengetahuan bagi menghadapi alam kerjaya kelak.
 
“Jangan hanya jadi ulat buku semata-mata tapi carilah sebanyak mana pengalaman yang perlu semasa belajar ini, kerana ianya amat berguna pada masa hadapan,” kata Wan Nudri.
 
Beliau juga turut memuji pihak penganjur yang pada pandangannya telah berjaya menghimpunkan para pelajar dari pelbagai kaum dan berlainan pegangan dalam satu program bersifat keagamaan.
 
Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan “Busking” bertemakan kedamaian dan keharmonian oleh para pelajar pelbagai kaum dan bangsa di sini.
 
110514-3
 
Turut sama hadir semasa majlis perasmian tersebut ialah Penasihat FESKI 2014, Dr. Najib Mat Pa dan Dr. Saiful Bahri Yusoff dan Timbalan Pengerusi MPP, Kampus Kesihatan, Syafiq Anaqi Sa’dom.
 
Bertemakan “Malam Sebarkan Kedamaian”, program yang berlangsung sepanjang dua minggu tersebut menyajikan pelbagai pengisian ilmiah dan juga jualan seperti Pameran & Gerai Hijaab, Mini Street Da’awah, Gema Selamat Amal, “Ladies Night”, Forum Aqidah, “Battle Of The Band”,” Purple T-Shirt Day” dan “Grand Iftar”.
 
Gimik perlepasan tanglung ke udara secara beramai-ramai oleh tetamu jemputan dan para pelajar adalah sebagai simbolik pelancaran festival tersebut. Teks: Mohd Rodin Che Yusoff / Diolah: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Sumbangan Kampus Kesihatan 
  • Created on .
  • Hits: 1046

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024