KUSISDARI MELAWAT KANSAI GAIDAI UNIVERSITY OSAKA
PULAU PINANG, 12 Mei 2014 – Kumpulan Siswa Siswi Darul Ridzuan (KUSISDARI) Universiti Sains Malaysia (USM) merasai pengalaman mengujakan ketika berkunjung ke negara matahari terbit, Jepun sempena Global Outreached Programme baru-baru ini.
Dengan bertemakan “Mobiliti Ilmu Pencetus Wasilah Global”, delegasi USM ke negara tersebut telah melalui aktiviti yang sangat bermanfaat, khususnya dalam menambahkan pengalaman berinteraksi dan memahami suasana dan budaya masyarakat luar.
Penasihat KUSISDARI, Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya berkata, program tahunan itu adalah satu platform khas bagi memperluaskan ilmu, pengetahuan, pengalaman dan perhubungan KUSISDARI dengan siswa-siswi dari universiti luar negara.
Katanya, beliau serta kesemua 16 delegasi KUSISDARI yang terdiri daripada barisan Ahli Majlis Tertinggi dan Exco sidang 2013/2014 telah memilih Kansai Gaidai University (KGU), Osaka, Jepun sebagai universiti pilihan untuk program tahun ini memandangkan negara Korea, China, Hong Kong dan Indonesia telah dilawati dalam program-program seumpamanya sejak 5 tahun yang lalu.
``Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah majlis ramah mesra di antara KUSISDARI dan KGU, perkongsian buah fikiran termasuk dalam aspek-aspek seperti kepimpinan, persatuan pelajar, persembahan dan sebagainya,’’ katanya.
Hadir memeriahkan program tersebut ialah Executive Director of International Programs, KGU, Mr. Fuyuki Seki, wakil dari Malaysia Tourism Promotion Board, Tokyo, Mr. Makoto Tokunaga, staf-staf akademik dan pentadbiran serta siswa-siswi KGU.
Tambah Wan Ahmad Jaafar, pelajar dari Jepun juga dipersembahkan dengan persembahan kebudayaan tempatan, termasuk demonstrasi peragaan pakaian tradisional Malaysia (mewakili 5 suku kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban), Tarian Dabus (tarian tradisional berasal dari negeri Perak), Tarian Joget, dan persembahan nyanyian.
``KGU juga telah menyediakan beberapa persembahan bertemakan adat dan budaya masyarakat Jepun seperti upacara meminum teh tradisional Jepun, seni mempertahankan diri, persembahan kendo dan bermain alat muzik tradisional.
``Para peserta juga telah dibawa melawat sekitar kampus oleh siswa-siswi daripada KGU. Para peserta turut berkesempatan melawat tempat-tempat bersejarah dan menarik di sekitar Bandar Osaka seperti Osaka City Museum of Natural History, Osaka Castle, Tsutenkaku Tower dan lain-lain lagi.
Mengulas keberkesanan program yang dijalankan, beliau berkata: ``Sebagai sebuah program berimpak tinggi yang dianjurkan oleh KUSISDARI, kesemua peserta yang terlibat telah menerima pelbagai pengalaman serta ilmu yang bermanfaat.
``Segala ilmu dan pengalaman yang diterima dapat dijadikan pedoman serta sebagai titik tolak dalam membina masa depan yang lebih berjaya selepas bergraduasi sebagai graduan USM. Selain itu, para peserta dapat menjalin ikatan ukhuwah sesama pelajar antara kedua-dua universiti yang terlibat serta mengenali dengan lebih dekat budaya masyarakat Jepun.’’
Beliau juga berhara program ini juga secara tidak langsung mampu mengukuhkan lagi hubungan USM dengan rakan – rakan global yang lain pada masa akan datang. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Ehsan Kusisdari
- Created on .
- Hits: 1228