USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JAYA, NURANI KUASAI TOT KE-40

 

 

 

110514-10

PULAU PINANG, 12 Mei 2014 – Desasiswa Jaya dari Kampus Kejuruteraan dan Nurani dari Kampus Kesihatan mengungguli Temasya Olahraga Tahunan (TOT) ke-40 Universiti Sains Malaysia (USM) apabila masing-masing merebut kejuaraan kategori lelaki dan wanita keseluruhan.

Desasiswa Jaya meraih lapan pingat termasuk empat emas, dua perak dan dua gangsa manakala Nurani pula mendahului kontinjen wanita lain dengan sembilan emas dan lima perak, menjadikan keseluruhannya berjumlah 14 pingat.

Kategori Veteran pula memperlihatkan penguasaan atlet-atlet kampus induk apabila mereka muncul juara dengan meraih 11 pingat termasuk enam emas, empat perak dan satu gangsa.

110514-11

110514-12

Jonnycall Anak Mengok, atlet dari Desasiswa Fajar Harapan pula dinobat atlet lelaki terbaik kejohanan setelah cemerlang meraih dua emas untuk acara 3000 meter (M) lari berhalangan dan 5000M.

Beliau turut memperbaharui rekod kejohanan acara 3000M lari berhalangan dengan catatan 10.40.4 saat berbanding rekod oleh A. Jegateesvaran (10.40.7s).

Atlet wanita Desasiswa Murni, Oh Wei Lin yang juga berjaya memperbaharui rekod kejohanan dalam acara 3000m jalan kaki dengan catatan 18.03.5s dinobat sebagai atlet wanita terbaik. Beliau turut memperoleh pingat gangsa dalam acara 3000M.

110514-13

Kesemua juara telah menerima hadiah masing-masing dalam upacara penutup TOT yang disempurnakan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur. Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dan pegawai-pegawai utama Universiti.

Mustafa dalam ucapannya berkata, arena sukan bukan sahaja medan untuk melahirkan atlet yang berkebolehan malah melalui sukan, siswa dan siswi dapat mengeratkan hubungan sesama warga kampus.

Katanya, semangat muhibbah tinggi yang ditunjukkan mampu membentuk ikatan yang akrab antara semua warga USM tanpa mengira kaum dan usia, ibarat pepatah bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

IMG 6135

``Saya amat berbangga kerana seluruh mahasiswa, staf Pusat Sukan dan Rekreasi serta penglibatan pihak penaja bersama-sama membantu dan memberi komitmen dengan bersungguh-sungguh bagi menjayakan TOT.

``Saya juga amat bersyukur, kerana melalui temasya seperti ini, kita dapat berada di bawah satu bumbung sebagai satu keluarga besar yang bersama-sama bersorak gembira meraikan kemenangan para atlet dan berlapang dada dengan kekalahan,’’ ujar beliau.

IMG 6187

IMG 6154

Dalam pada itu, TOT yang melabuhkan tirainya semalam menyaksikan persaingan 17 kontijen yang dibarisi kira-kira 4,000 atlet bagi merebut pingat dalam lebih 30 acara balapan dan juga padang selain sekretariat, pegawai temasya, pengadil dan tetamu jemputan.

Antara keunikan dalam penganjuran pada tahun ini adalah pertandingan permainan tradisional meliputi acara tarik tali lelaki dan wanita, perbarisan, khemah terbaik, maskot mesra, kumpulan sorak di samping puluhan acara trek dan padang. - Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1145

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024