USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NURUL ASMA: CITA-CITANYA TINGKATKAN POTENSI PENYELIDIKAN NEGARA

 IMG 6327

PULAU PINANG, 15 Mei 2014 - Semangatnya berkobar-kobar untuk meneruskan cita-cita menjadi penyelidik terkemuka dan terbilang negara dan dunia. Malah, sejak kecil, dia mempunyai semangat dan strategi rapi untuk berjaya dalam hidup.

"Sejak kecil saya memang sangat bercita-cita untuk menggenggam ijazah Ph.D dalam apa jua bidang yang saya akan ceburi," kata Dr. Nurul Asma Abdullah, 33. 

Nurul Asma, pensyarah di Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) sejak lima tahun lalu adalah alumni Universiti Sains Malaysia (USM) yang merupakan kumpulan pertama yang mengikuti Program Bio-Perubatan di Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) yang cemerlang dan terus ditawarkan mengikuti Ph.D dalam bidang Imunologi di bawah seliaan Profesor Dr. Norazmi Mohd. Nor yang kini Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM).

"Saya terhutang budi kepada USM kerana menyediakan persekitaran penyelidikan yang sangat baik dan mematangkan seseorang pelajar terutamanya apabila terlibat dalam projek tahun akhir," kata Nurul Asma.

Dia ditemui selepas Sidang Media Kemenangan USM  dalam Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2014 di sini yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr Muhamad Jantan.  Hasil penyelidikannya yang dinamakan BreatheEZi  iaitu produk berasaskan Cendawan Susu Harimau (Tiger Milk Mushroom) untuk pengurusan penyakit Asma bagi mengurangkan pergantungan kepada "inhaler".

Nurul Asma  menjadikan  bekas Timbalan Naib Canselor USM yang kini Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor  Dato' Dr. Asma Ismail sebagai inspirasi wanita untuk  berjaya di samping  Profesor Norazmi yang dianggapnya penyelia terbaik untuk menjadi siswazah Ph.D untuk meneruskan penyelidikan kerana turut menyediakannya dengan   fundamental yang kukuh sebagai penyelidik.

"Saya ingin menolong anak bangsa saya agar berminat dengan penyelidikan dan pada masa yang sama  dapat membantu merancang potensi penyelidikan dalam bidang sains malah menjadi penyelidik dan ahli akademik yang berjaya sekaligus dapat memberi manfaat kepada manusia dan kemanusiaan seluruhnya," tegas Nurul Asma lagi.

IMG 6316

Anak kelahiran  Kubang Kerian Kelantan ini merupakan seorang pelajar cemerlang, adalah bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA Taiping.

"Saya seronok menjadi seorang pensyarah dan penyelidik, malah dalam tempoh singkat ini berpeluang menjelajah hampir seluruh dunia sama ada untuk mengikuti program latihan mahu pun pembentangan kertas kerja termasuk  ke Itali, Sepanyol, United Kingdom, Perancis dan banyak negara lain kerana saya percaya sebagai penyelidik dan ahli akademik kita perlu bergaul dengan dunia antarabangsa dan 'recharge' diri untuk mendapatkan idea, kreativiti dan inovasi," tambah Nurul Asma lagi.

Bercerita tentang pengalaman hidupnya, dia amat sedih apabila ayahanda yang dikasihi meninggal dunia kerana kanser paru-paru ketika Nurul Asma menduduki peperiksaan akhir Sains Matrikulasi dan sejak itu bertekad menjaga bondanya yang kini berusia 83 tahun dan tinggal bersamanya.

Anak bongsu dalam enam beradik ini adalah satu-satunya yang terlibat dalam dunia akademik manakala yang lain-lainnya sebahagian besar adalah peniaga mengikuti jejak ayahanda dan bondanya sebagai peniaga yang menjalankan perniagaan runcit.

IMG 6321

Suaminya juga adalah alumni USM dalam bidang Kejuruteraan Mekanik yang kini menguruskan perniagaannya sendiri selepas meninggalkan perkhidmatan dengan sebuah syarikat industri terkemuka.

"Yang penting sekarang ialah untuk saya merancang dan memastikan kelangsungan kerja penyelidikan saya dan menentukan hala tuju seterusnya serta berharap untuk dapat bertukar dari PPSG ke PPSK bersesuaian dengan bidang kekuatan dan kemahiran demi meneruskan usaha yang telah mula menampakkan hasil ini," kata Nurul Asma dengan bersemangat.

Dia berharap untuk memajukan lagi kerja penyelidikan dalam penghasilan produk emas BreatheEZi yang masih di peringkat prototaip untuk dimajukan pada peringkat seterusnya, dikomersilkan dan menyuburkan budaya penyelidikan yang ada. Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1571

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024