USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CENDAWAN SUSU RIMAU BANTU PESAKIT ASMA

IMG 6327

PULAU PINANG, 15 Mei 2014 – Penyakit Asma atau lelah merupakan penyakit immunologi yang menyebabkan kesukaran bernafas. Pesakit asma mungkin mengalami pernafasan bersiul (wheezing), sesak nafas, dan sukar untuk bersenam. Pesakit yang kronik memerlukan penyedut atau inhaler bagi membantu menyalurkan oksigen ke ruang pernafasan dan terus ke paru-paru. 

Penyelidik dan juga pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu Dr Nurul Asma Abdullah, 33 mencipta formulasi kapsul daripada Cendawan Susu Rimau atau nama sainstifiknya Lignosus Rhinocerus yang dinamakan BreatheEZi bagi membantu pemulihan penyakit asma. Cendawan susu harimau sangat susah diperolehi dan ianya hanya terdapat di dalam hutan liar yang jarang diterokai oleh manusia.

 DSC 0080

“Namun saya bernasib baik kerana terdapat syarikat tempatan yang mengkultur cendawan jenis ini dan ianya sangat membantu kajian saya serta tidak perlu untuk meneroka hutan tebal,” kata Nurul Asma. 

“BreatheEZi dapat membantu mengurangkan symptom penyakit asma, mengurangkan penggunaan inhaler serta membantu memulihkan sistem pernafasan dan kesihatan respiratori manusia,” terang Nurul Asma. 

“Rawatan untuk penyakit asma terbahagi kepada pencegahan(preventer), pengawalan(controller) dan juga penyelamat (rescue). Namun begitu, BreatheEZi hanyalah untuk pencegahan dan juga pengawalan dan bukannya penyelamat,” tambah Nurul Asma ketika sidang media memperkenalkan produk tersebut yang memenangi pingat emas dalam Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2014 yang diadakan baru-baru ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. 

DSC 0298k

“USM telah menghantar 20 produk dan rekaan untuk dipertandingkan dalam 23 katagori bagi ITEX 2014. 19 produk  telah memenangi pingat emas, satu pingat perak dan tiga anugerah khas serta pingat perak untuk rekaan ruang pameran,” kata Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Muhamad Jantan ketika mempengerusikan sidang media tersebut. 

Menurul Nurul Asma lagi produk ini mempunyai nilai komersial dan juga pasaran antarabangsa kerana masalah atau penyakit asma ini sangat sinonim dengan negara-negara maju dan juga membangun kerana keadaan persekitaran yang berjerebu. 

“Kajian mengenai BreatheEZi masih berjalan dan saya berharap masih boleh ditambahbaik pada masa akan datang. Setakat dua tahun ini, nilai penyelidikan ini adalah sebanyak RM230,000.00,” kata Nurul Asma mengakhiri perbualan. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 2626

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024