PENYELIDIK USM HASILKAN PENJERAP BUNYI DARI SISA BUANGAN GETAH
PULAU PINANG, 15 Mei 2014 – Konsep dari bahan buangan ke produk emas menjadi nadi kepada rekacipta penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) apabila menjadikan bahan buangan berasaskan getah kepada penjerap bunyi yang berpotensi digunakan dalam pelbagai situasi khususnya industri automatif.
Kumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM yang diketuai oleh Profesor Dr. Hanafi Ismail menghasilkan produk inovatif ECO-Rub FOAM: Busa pelbagai guna dari sisa bahan terpakai berasaskan getah yang bermutu tinggi dan terbukti lebih baik dari produk sedia ada di pasaran.
Hanafi berkata, inovasi beliau lebih menjurus kepada teknologi kejuruteraan yang mampu menghasilkan produk akhir iaitu busa yang boleh menjerap bunyi bagi mengelak bunyi bising, sekaligus membantu mengatasi masalah pelupusan bahan buangan itu.
Katanya, ECO-Rub FOAM turut mempunyai keistimewaan kerana ianya bersifat sebagai perencat rintangan api dan anti-microbial, iaitu tidak mudah membiak mikroorganisma.
``Teknologi ini dibangunkan dengan kaedah pemprosesan getah menggunakan peralatan konvensional yang cukup mudah dan menjimatkan kos, namun berfungsi menukarkan bahan buangan getah kepada busa yang 30 peratus lebih baik dari produk komersial.
``Bukan sekadar kualiti yang lebih baik, kos penghasilannya juga 30 peratus lebih rendah berbanding produk komersial kerana teknik yang digunakan adalah mudah dan menjimatkan, sangat sesuai untuk dihasilkan dalam skala yang lebih besar,’’ ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media memperkenalkan produk penyelidikan USM yang dipertandingkan dalam Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX 2014) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sidang media tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Muhamad Jantan.
USM cemerlang di ITEX apabila memperoleh pungutan seratus peratus pingat, apabila 19 dari 20 produk penyelidikan termasuk ECO-Rub Foam yang dipertandingkan berjaya membawa pulang pingat emas dan 1 pingat perak.
Dua produk turut merangkul kejayaan berganda, salah satunya ECO-Rub FOAM yang diiktiraf menerima Anugerah Khas dari Asia Invention Association (AIA). USM turut memenangi pingat perak dalam kategori tapak pameran terbaik.
Hanafi turut berkata, inovasi yang dibangunkan bersama dua lagi penyelidik bersama, Indrajit Rathnayake dan Nabil Hayeemasae itu turut membuktikn ianya empat kali lebih sukar untuk terbakar berbanding produk sama yang dibuat berasaskan Polyurethane (PU).
``Projek penyelidikan ini dijalankan dalam tempoh tiga tahun dengan peruntukan geran Universiti Penyelidikan berjumlah RM200,000. Produk ini sedang dalam proses pemfailan paten dan dijangka akan dikomersialkan untuk tempoh akan datang,’’ ujarnya.
Mengulas sasaran pengkomersialan, beliau berkata, ECO-Rub FOAM amat sesuai untuk industri pembuatan kereta khususnya dalam menghasilkan penjerap bunyi pada bahagian enjin, pintu dan sebagainya.
Pun begitu ujarnya, penggunaan inovasi itu tidak terhad kerana ia bersifat pelbagai dan turut sesuai digunakan untuk mengurangkan bunyi dalam pelbagai situasi.
Katanya lagi, produk ini berpotensi dikomersialkan memandangkan pengeluaran produk getah telah meningkat sehingga 26 juta tan pada tahun 2012 berbanding 18 juta tan (2002), peningkatan yang turut menyebabkan kenaikan kepada sisa buangan produk getah.
Antara contoh bahan bungan getah termasuk sarung tangan, tayar, paip, tali pinggang kasut, kateter dan sebagainya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1403