KBS BANTU USM DAPAT SEMULA AKREDITASI
PULAU PINANG, 19 Mei 2014 - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membantu Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mendapatkan semula akreditasi dari World Anti Doping Agency (WADA) yang beribu pejabat di Montreal Kanada selewat-lewatnya Januari 2016.
Menterinya Khairy Jamaluddin berkata demikian salam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Kawalan Doping (PKD) USM hari ini.
"Saya telah bertemu pihak WADA dan mereka akan memberi peluang kepada Malaysia, malah tidak akan meluluskan permintaan baharu untuk menubuhkan pusat doping di mana-mana negara di rantau ini sehingga kita perolehi kembali akreditasi ini," kata Khairy.
Katanya lagi, hal ini penting dalam membantu negara menjimatkan kos melakukan ujian doping di luar negara seperti untuk SUKMA sekarang ini apatah lagi kita akan menjadi tuan rumah Sukan SEA tahun 2017.
PKD USM yang ditubuhkan pada tahun 1996 kehilangan akreditasi WADA pada tahun 2010 kerana kekurangan sampel dan isu lain termasuk peralatan.
Tambah Khairy, KBS akan meneliti dari segi keperluan peruntukan memandangkan sejumlah dana diperlukan untuk tujuan mendapatkan semula akreditasi tersebut termasuk menggantikan sebahagian peralatan yang telah usang.
"Kita perlu melihat hal ini dengan mendalam dengan memberi keutamaan terhadap peralatan dan keperluan-keperluan lain yang ada dalam mendapatkan dana untuk tujuan tersebut," kata Khairy.
Terdahulu Menteri Belia dan Sukan itu diberikan taklimat oleh Pengarah PKD Profesor Dato' Dr. Mohamed Isa Abd. Majid.
Menurut Mohamed Isa, USM memerlukan kira-kira RM28.2 juta untuk tujuan peralatan, operasional dan pengurusan akreditasi dengan WADA untuk tempoh lima tahun bagi memastikan memperolehi akreditasi tersebut dan kelangsungannya.
"InsyaAllah kita boleh mulakan proses ini pada penghujung tahun 2014 bagi memastikan keberhasilannya pada tahun 2016," tambahnya lagi.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pemangku Naib Canselor Profesor Dr. Adnan Hussein, Timbalan-timbalan Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan, Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Profesor Dato' Dr. Susie See Ching Mey, Pendaftar Siti Zubaidah A. Hamid serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara Dato’ Dr. Ramlan Hj Abd Aziz.
Khairy turut dibawa melawat peralatan di makmal-makmal utama PKD.
Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1324