HARI HUTAN ANTARABANGSA: USM-SUMIRUBBER TANAM SEMULA 500 POKOK
SIK, KEDAH, 19 MEI 2014 – Seramai 160 orang peserta dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Sumirubber Industries Malaysia Sdn. Bhd. bersama menanam semula sejumlah 500 anak pokok spesis Meranti anjuran Sumirubber Sdn. Bhd. sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa.
Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, Kedah seluas 386 hektar menjadi lokasi pilihan bagi penanaman semula pokok dengan bertemakan “Save Trees, They Will Save You”.
Turut hadir merasmikan majlis adalah Pengarah Jaringan Komuniti, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Tuan Syed Yusof Syed Kechik manakala Sumirubber Industries Malaysia Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengarah Urusannya, Yoshiaki Miyamoto.
Menurut Syed Yusof, program seperti ini merupakan antara agenda utama universiti mengukuhkan hubungan dengan industri luar untuk membangunkan nilai kelestarian demi masa hadapan.
“Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bukanlah perkara asing kini, ia bukan sahaja untuk sektor swasta, malah diamalkan oleh agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, universiti dan masyarakat keseluruhannya dalam usaha menjaga kelestarian alam sekitar demi kelangsungan hidup mendatang,” katanya di majlis perasmian.
Katanya, visi USM cukup sinonim dengan agenda-agenda berkaitan iaitu “Mentransformasikan Pengajian Tinggi Untuk Kelestarian Hari Esok”, lantas ia menjadi tanggungjawab USM sebagai perintis dalam mengubah semula paradigma masyarakat-universiti-industri bergabung memperjuangkan erti kelestarian sebenar.
Program tersebut juga mendapat kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Kedah apabila seramai 20 orang Pegawai Hutan dan Renjer Hutan bersama-sama membantu dan memantau peserta sepanjang program penanaman pokok berlangsung.
Turut hadir bagi pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kedah adalah Tuan Nor Azirim Ahmad, Timbalan Pengarah Pembangunan Hutan, Negeri Kedah.
Tambah Syed Yusof, USM sentiasa menyokong program seperti dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan hutan dalam kehidupan kita apatah lagi khazanah negara ini perlu dipelihara.
“Sejumlah 40 orang pelajar kita pada hari ini adalah dari Kampus Kejuruteraan USM Nibong Tebal, Pulau Pinang dan sememangnya mereka termasuklah para pensyarah amat teruja untuk menjadi sebahagian daripada program ini.
“Kerjasama antara ketiga-tiga pihak diharap dapat mencetuskan semangat kerjasama dan sukarelawan di kalangan kita semua,” kata Syed Yusof.
Antara spesis pokok Meranti yang ditanam di majlis tersebut adalah spesis Meranti Tembaga dan Meranti Sarang Punai iaitu antara spesis penting dalam industri pembalakan di negara ini.
Pada majlis yang sama, Pengarah Urusan Sumirubber Industries Malaysia Sdn. Bhd, Yoshiaki Miyamoto berkata aktiviti penanaman pokok kini telah menjadi salah satu agenda utama dalam Sumitomo Rubber Industries (SRI) kerana ia merupakan sebahagian daripada dasar CSR syarikat.
“Sejak tahun 2010, para pekerja wajib menanam 10 pokok setiap bulan dan ini menunjukkan bahawa Sumirubber amat menekankan penjagaan dan pemulihan alam sekitar kini.
“Saya percaya dengan penekanan aspek ini kepada warga Sumirubber, ia sekaligus dapat membantu mengekalkan ekosistem di hutan untuk generasi hidupan akan datang,” tambah Miyamoto.
Di akhir majlis, semua peserta terlibat disajikan dengan masakan ala kampung di samping pelbagai juadah ulam-ulaman segar sebelum bersurai. - Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 1255