IBU BAPA HARUS PEKA KESAN PENGGUNAAN TELEFON PINTAR
PULAU PINANG, 19 Mei 2014 – Golongan ibu bapa seharusnya lebih peka dan mengkaji kesan dalam memberi kemudahan telefon pintar kepada anak-anak, bukan sekadar melihat ia sebagai satu medium untuk berhubung.
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Jaringan Industri ), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Dr. Azrina Husin berkata, pemantauan khusus dan memberi pemahaman mendalam kepada anak-anak mengenai kebertanggungjawaban menggunakan kemudahan tersebut perlu dibuat secara berterusan.
Katanya, hal ini kerana telefon pintar bukan sekadar alat untuk memudahkan hubungan sesama keluarga, sebaliknya jika digunakan tanpa pengawasan dan rasa kebertanggungjawaban yang tinggi, ia akan membuka pintu kepada lebih banyak permasalahan yang tidak sepatutnya berlaku.
"Telefon pintar yang menjadi kemestian kepada setiap golongan pada hari ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, termasuk akses secara langsung kepada kemudahan internet dan jika tidak dikawal, ia mendedahkan anak-anak kepada satu dunia baru yang mencabar.
"Pun begitu, kita tidak boleh mengatakan tidak kepada kemudahan ini, sebaliknya perlu lebih prihatin dan sedar dengan keperluan mendidik anak-anak mengenai penggunaan yang betul dan dengan penuh rasa tanggungjawab,’’ ujarnya.
Beliau mengulas dan memberi saranan kepada ibu bapa mengenai perkara itu dalam ceramah khas bertajuk Media, Children & Family sempena penganjuran Program Kesedaran Pencegahan Jenayah dalam Kalangan Wanita di sini baru-baru ini.
Program yang disertai oleh lebih 500 peserta itu dianjurkan oleh Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) dan Kumpulan “Peace Lady” (AMANITA) Kontinjen Pulau Pinang.
Hadir merasmikan program tersebut ialah Pengerusi PERKEP Kontinjen Pulau Pinang, Datin Wira Ramlah Mahmood. Turut hadir ialah Initiative Owner AMANITA Bukit Aman, ACP Sasikala Devi Subramaniam.
Sasikala Devi pula berkata, AMANITA telah menjalankan satu inisiatif khusus dalam melengkapkan suri rumahtangga dengan panduan-panduan keselamatan diri menerusi program Engage Housewives in Neighbourhood Safety.
Katanya, melalui program itu, AMANITA komited untuk mencapai matlamat untuk menjadikan suri rumahtangga sebagai rakan polis dalam usaha mengurangkan kadar jenayah dengan menggerakkan dan menyelaraskan penglibatan di antara kedua-dua pihak.
"Kita berusaha untuk menghasilkan suri rumahtangga yang berkemampuan untuk menjaga keselamatan diri, keluarga dan harta benda, mengenali dan melaporkan aktiviti-aktiviti yang mencurigakan di kejiranan mereka.
"Surirumah juga diminta untuk bekerjasama dengan pihak polis bagi mengenal pasti kegiatan jenayah yang sering berlaku di kawasan mereka, sekaligus berupaya menjadikan kawasan mereka sebagai tempat selamat,’’ katanya. Teks dan Foto: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1290