500 PESERTA SERTAI LARIAN RIBEN MERAH
PULAU PINANG, 19 Mei 2014 – Kira-kira 500 peserta menzahirkan keprihatinan mereka terhadap mangsa-mangsa HIV/AIDS dengan menyertai Larian Riben Merah (Red Ribbon Run) yang dianjurkan di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini semalam.
Program kemuncak sempena Kempen Kesedaran HIV/AIDS 2014 anjuran pelajar Tahun Akhir Bahagian Komunikasi Pemujukan, Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) USM itu turut berperanan dalam memberi dan meningkatkan kesedaran umum mengenai HIV/AIDS.
Pemangku Naib Canselor, Profesor Dr. Adnan Hussein berkata, USM amat berbangga dengan komitmen para pelajarnya dengan penganjuran kempen-kempen seumpama itu yang disifatkan sebagai bertepatan dengan usaha penerapan budaya hidup sihat.
Katanya, penganjuran acara seperti itu juga memperlihatkan kematangan para pelajar yang tidak pernah jemu untuk menyebarkan kempen-kempen kesedaran dalam pelbagai aspek termasuk HIV/AIDS sehingga ke komuniti luar kampus.
"Kehadiran begitu ramai peserta juga membuktikan keprihatinan masyarakat terhadap kepentingan bersukan dan mengamalkan cara hidup sihat, di samping turut menderma bagi membantu golongan yang memerlukan,’’ ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika menghadiri upacara penutup dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang dalam larian amal sejauh 3.5 kilometer di sini semalam.
Dalam pada itu, penganjuran Larian Riben Merah itu turut mendapat kerjasama Majlis AIDS Malaysia (MAC), Pusat Sejahtera USM dan AIESEC USM.
Larian ini turut bertujuan untuk memberi kesedaran mengenai langkah-langkah pencegahan terhadap jangkitan virus HIV/AIDS, di samping menyatupadukan sokongan orang ramai dalam usaha mengurangkan stigma dan diskriminasi terhadap gejala HIV/AIDS.
Kutipan dana dari penganjuran larian itu juga disumbangkan kepada Community AIDS Service Penang (CASP), sebuah pusat rehabilitasi di Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang menempatkan Orang yang Hidup dengan HIV/AIDS (ODHA). CASP juga giat melakukan usaha-usaha pencegahan dan pendidikan mengenai HIV/AIDS kepada orang awam.
Turut hadir dalam acara yang ditaja oleh Felda Wellness Corporation (FWC) dan Livyoung Lifestyle Sdn. Bhd tersebut ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal dan Jaringan) PPK, Dr. Juliana Abd Wahab dan Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr. Nurulain Abdullah Bayanuddin. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: PPK
- Created on .
- Hits: 1040