MISAI KUCING SEMBUH RADANG DAN PENYAKIT SENDI
PULAU PINANG, 19 Mei 2014 – Daun pokok Orthosiphon Staminues, Benth atau lebih dikenali sebagai Misai Kucing terkenal dengan khasiatnya untuk merawat kencing manis, mengurangkan kadar kolesterol darah dan menurunkan tekanan darah tinggi dengan cara meminum air rebusannya.
Kini, melalui penemuan dan kajian Pensyarah Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF), Universiti Sains Malaysia (USM) yang diketuai oleh Dr Yam Mun Fei, bahan kimia yang dikenali sebagai Sinensetin dan Eupatorin yang dihasil daripada daun misai kucing dapat membantu untuk menyembuh keradangan dan juga menyekat penghakisan lapisan perut yang disebut juga ulser.
Produk makanan tambahan dalam bentuk pil ini diberi nama Eusinorthec adalah hasil pemekatan secara piawaian daun Misai Kucing melalui proses fraksi (fraction) yang mana dikenalpasti bahan utama bagi merencatkan gen radangan samada anti-radang atau anti-athritis.
“Penyakit arthritis atau sendi tulang yang disebabkan oleh pembengkakan di bahagian sendi dapat dirawat dengan produk ini tanpa kesan sampingan seperti steroid di pasaran pada masa kini.
“Hasil ujian kepada binatang, pembengkakkan berkurangan setelah empat jam pengambilan Eusinorthec,” kata Yam yang berhasrat menjual makanan tambahan ini pada harga RM1 sebiji.
“Setiap biji pil tersebut telah dipiawaikan mengandungi 30 mikrogram Sinensetin dan 47 mikrogram Eupatorin,” tambah Yam.
Menurut Pensyarah PPSF yang juga penyelia Yam, Profesor Dr Mohd Zaini Asmawi produk ini telah didaftarkan tanda dagangan (trademark) dan dalam proses mencari syarikat untuk menjalankan ujian klinikal ke atas Eusinorthec.
“Ujian klinikal memerlukan kos yang agak tinggi serta mengambil masa yang lama untuk dijalankan. Oleh yang demikian, pihak kami masih mengkaji dan mencari potensi bagi produk ini,” tambah Mohd Zaini.
Menurut Yam, tesis Ph.D beliau tersebut telah memenangi tesis dan penyelidikan terbaik USM serta pingat gangsa di Pameran Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institut Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2013.
Eusinorthec juga adalah antara 19 produk emas di Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2014 yang diadakan di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur baru-baru ini. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 2684