USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BAHAN SEMULAJADI MAMPU HASILKAN BOD KOMPOSIT

170514-10

PULAU PINANG, 19 Mei 2014 – Bahan semulajadi yang diperoleh daripada biosumber pokok boleh berfungsi sebagai bahan pengawet, perekat dan bahan aditif yang berfungsi untuk menguatkan ketahanan produk berasaskan kayu.

Profesor dari Bahagian Biosumber, Teknologi Kertas dan Pelitupan, Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Rokiah Hashim berkata, penambahan bahan kimia pengawet adalah perlu terutamanya untuk produk yang dihasilkan dari pokok yang berketahanan rendah.

Katanya, satu penyelidikan dalam melihat potensi penggunaan bahan semulajadi daripada biosumber pokok telah dijalankan dan ia dilihat sesuai bagi menjadi alternatif kepada bahan pengawet berasaskan kimia.

``Umum mengetahui bahan pengawet kimia boleh memudaratkan manusia dan merosakkan alam sekitar.

``Justeru kajian yang dijalankan memberi tumpuan kepada penggunaan bahan yang diperoleh daripada ekstrak pokok Cerbera odollam dan pengaruhnya sebagai bahan pengawet  terhadap sifat bod partikel,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengupas syarahan bertajuk “Bahan Semula jadi Daripada Biosumber Pokok Dalam Pembuatan Bod Komposit” sempena Syarahan Umum Pelantikan Profesor di sini baru-baru ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Dekan PPTI, Profesor Azhar Mat Easa.

Rokiah juga berkata, objektif utama kajian tersebut adalah untuk menilai tahap pencapaian prestasi bod yang dihasilkan, sama ada mencapai tahap piawaian spesifikasi bod komposit atau sebaliknya, serta kesesuaian penggunaannya.

``Kajian untuk membangunkan produk semulajadi berasasakan bahan mesra alam ini haruslah berupaya menghasilkan bod komposit yang memenuhi spesifikasi bagi menjamin kualitinya dan kebolehlaksanaan pengkomersialannya.

``Hasil dari kajian ini dapat menyumbang kepada penggunaan biosumber pokok sebagai bahan pengawet, aditif dan panel yang boleh diaplikasikan dalam industri berkaitan,’’ ujar beliau.

170514-11

Tambah beliau, kajian ini juga turut menyumbang kepada kelestarian penggunaan batang kelapa sawit tanpa buangan.

Ia turut membantu mengurangkan penggunaan resin berasaskan formaldehid dan meningkatkan penggunaan bahan mentah mesra alam dalam industri komposit berasaskan kayu, namun dalam masa yang sama berupaya menghasilkan bod komposit yang memenuhi spesifikasi.

Dalam pada itu, menyusuri karier sebagai pendidik anak bangsa, anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu  memulakan khidmatnya sebagai pensyarah di PPTI pada Mac 1993.

Beliau memberi tumpuan kepada kajian ciri-ciri pengawetan dan prestasi komposit berasaskan kayu dan bukan kayu berkaitan dengan penggunaan dalam industri berasaskan kayu.

Rokiah melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama dan ijazah sarjana di North Carolina State University, Amerika Syarikat. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian ijazah kedoktoran di Imperial College London pada tahun 1990 di bawah program Rancangan Latihan Kakitangan Akademik (RLKA) USM.Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md.Isa

  • Created on .
  • Hits: 1675

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024