USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM AMBIL LANGKAH-LANGKAH PERLU TANGANI ISU PAKAR PERUBATAN

 

DSC 8276

PULAU PINANG, 20 Mei 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil langkah-langkah yang perlu dalam menghadapi masalah tenaga pakar perubatannya yang berhijrah ke institusi lain atas pelbagai tujuan dan alasan.

“Kami memang sedar dan telah mengorak langkah untuk menghadapi masalah ini yang sememangnya sukar untuk dielakkan, misalnya sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh mantan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr. Ismail Merican telah ditubuhkan di bawah Lembaga Gabenor USM untuk meneliti segala isu yang berkaitan Hospital USM dan pengajian Sains Perubatan USM,” kata Pemangku Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan mengulas isu yang terbit dalam sebuah akhbar Bahasa Inggeris Sabtu lalu tentang penghijrahan pakar perubatan USM yang dikatakan menjejaskan proses pengajaran di universiti.

Bercakap kepada wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di pejabatnya, Muhamad berkata, Jawatankuasa ini yang juga dianggotai oleh Tan Sri Dr. Zulkefli A. Hassan, Tan Sri M. Jegathesan, Tengku Tan Sri Dr. Mahaleel bin Tengku Ariff, Dato’ Zuraidah Atan dan wakil pelbagai pihak lain termasuk ahli akademik telah pun mengadakan beberapa perjumpaan untuk mencari jalan membantu menangani isu ini.

Jelasnya, ini juga adalah sumbangan universiti kepada negara kerana mereka ini memberikan khidmatnya kepada pelbagai institusi lain termasuklah dalam kalangan universiti-universiti awam baharu yang untuk mendapatkan akreditasinya memerlukan sumbangan tenaga pakar yang ada namun pada masa yang sama USM perlu mencari jalan terbaik untuk memastikan ia tidak akan menjejaskan kepentingan pengajaran yang ada.

Menurutnya lagi, berdasarkan statistik di Jabatan Pendaftar USM, jumlah yang meninggalkan perkhidmatan USM sama ada menyertai insititusi pengajian tinggi lain dan swasta mahu pun bersara adalah sekitar 5 orang pada tahun ini manakala pada tahun lalu sekitar 20 orang yang merupakan bilangan yang masih boleh ditangani.

“Kita jangkakan kira-kira 40 orang kakitangan yang dihantar melanjutkan pengajian di luar negara akan kembali dalam masa yang terdekat, malah USM juga mengambil langkah-langkah yang bersesuaian dengan keperluan termasuk memberikan kenaikan pangkat yang sewajarnya ini serta melihat juga kepada skim Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menyesuaikannya dengan proses yang berkaitan,” katanya lagi.

Menurut Muhamad, memandangkan USM adalah sebuah universiti penyelidikan, tentunya isu penyelidikan oleh semua kakitangan akademik tidak boleh diketepikan begitu sahaja dan perlu dilihat kepentingannya.

DSC 8275

“Yang pasti, sumbangan pengajaran dalam proses kenaikan pangkat juga diambil kira dengan lebih 30% markahnya yang boleh dilihat di dalam laman sesawang universiti dan kriteria yang ada adalah jelas dinyatakan kepada semua yang terlibat,” katanya mengulas masalah kriteria kenaikan pangkat yang dikatakan sukar untuk dipenuhi oleh tenaga pensyarah pakar perubatan.

Pada masa yang sama USM juga telah mengemukakan cadangan untuk penambahbaikan skim perubatan yang ada dan Lemabga Gabenor USM turut meluluskan cadangan untuk proses kenaikan pangkat dan kerjaya yang sesuai dengan keperluan memastikan bakat dalam kalangan tenaga pakar perubatan yang ada dapat dipertahankan mengikut keperluan universiti.

“Pada akhirnya, kita mengharapkan usaha ini akan memberi faedah kepada negara dan membolehkan universiti menyokong proses pembangunan yang berlaku terutamanya dalam bidang perubatan,” kata Muhamad. - Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1299

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024