125 PRODUK TAHUN AKHIR DIPAMER DALAM RINTIS
PULAU PINANG, 20 Mei 2014 – Sejumlah 125 rekacipta pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Seni (PPS) dipamer dalam pameran Research Innovation Towards Integration dan Sustainability atau lebih sinonim dengan RINTIS yang masuk edisi-10 pada tahun ini.
Pemangku Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan berkata, RINTIS mula diperkenalkan pada tahun 2004, berperanan sebagai platform dalam membawa komuniti pelajar tahun akhir mempamerkan dan bercerita mengenai rekacipta dan hasil seni mereka.
Katanya, RINTIS juga menjadi medan untuk para pelajar mengasah bakat mereka dalam menjenamakan diri masing-masing dan menonjolkan kekuatan untuk bersaing ke dunia kerjaya yang semakin mencabar.
``Kesemua produk yang dihasilkan sememangnya berkualiti dan amat memberangsangkan namun perkara penting yang cuba diketengahkan menjurus kepada memberi peluang pelajar mengintepretasi kemampuan mereka ke tahap maksimum,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program RINTIS di sini hari ini. Turut hadir ialah Pemangku Dekan PPS, Dr. A.S Hardy Shafii.
RINTIS yang turut menjadi kemuncak kepada usaha pelajar sebelum bergraduasi turut memberi laluan kepada mereka menembusi pasaran industri melalui hasil kreativiti masing-masing.
RINTIS meliputi pelbagai rekacipta termasuk dalam bidang Rekabentuk Grafik Komunikasi, Rekabentuk Teknologi Media Baru, Rekabentuk Produk, Seni Halus, Persembahan dan Pedagogi serta Lakonan dan Pengarahan.
Tambah Muhamad, RINTIS juga merupakan mercu tanda ilmu yang telah dikembangkan dalam jiwa pelajar selama tiga tahun proses pembelajaran USM, termasuk pembelajaran ilmu praktikal dan teori yang menjadi cabaran utama dalam kewajaran mengenai aspek kesenian yang diilhamkan.
`` Perkara menarik yang boleh dilihat melalui program seumpama ini adalah gabungan tenaga para pelajar dan pensyarah yang terlibat dalam berkongsi idea dengan masyarakat luar dan industri melalui karya-karya yang telah dipamerkan,’’ ujarnya lagi.
Sementara itu, A.S Hardy pula berkata, RINTIS juga telah menjadi satu jenama yang semakin dikenali khususnya dari rakan industri dalam mendapatkan bakat-bakat unggul yang dihasilkan.
``Kita turut diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui jemputan-jemputan mengadakan pelbagai pameran, syarahan, persembahan dan sebagainya di merata dunia,’’ katanya.
Dalam pada itu, RINTIS yang akan berlangsung sehingga 31 Mei depan akan menemui komuniti kampus dan sekitarnya melalui siri penganjuran pelbagai program, antaranya, Bicara Seni, Konsert Muzikal, Teater, Ceramah, Pameran rekabentuk dan sebagainya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1193