USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERSEMBAHAN PENTAS PBT SERLAHKAN BAKAT DAN KREATIVITI MAHASISWA

170514-30

PULAU PINANG, Mei 2014 – Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya memukau perhatian hampir 900 penonton yang hadir di Siri Persembahan Pentas 2013/2014 PBT yang diadakan di Dewan Sri Pinang baru-baru ini.

Program tersebut adalah acara tahunan PBT yang dirancang dan dilaksanakan sepenuhnya oleh mahasiswa USM yang merupakan ahli persatuan.

170514-31

170514-32

Menurut Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato’ Dr. Susie See Ching Mey, program ini telah berjaya menyediakan satu platform untuk mahasiswa USM melibatkan diri dalam penganjuran aktiviti secara berdikari.

“Saya percaya program ini bukan sahaja memberi peluang kepada mahasiswa untuk mempertontonkan bakat-bakat mereka, tetapi juga membolehkan mereka mempertunjukkan kreativiti dan inovasi mereka dalam menghasilkan persembahan pentas.

“Selain itu, kemahiran kepimpinan, berorganisasi, berkomunikasi dan penyelesaian masalah juga dapat diasah dan dipertingkatkan dalam kalangan mahasiswa sejajar dengan matlamat universiti untuk melahirkan siswazah yang mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi selain kelayakan akademik yang cemerlang,” kata Susie See dalam ucapan perasmiannya.

170514-33

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah Projek, Lim Zi Cong (Pengurusan Tahun 3) berkata, persembahan tahun ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya kerana banyak melibatkan elemen kreativiti dan inovasi, iaitu dua elemen penting dalam menzahirkan perubahan.

Ini ternyata dapat dilihat dari tema Siri Persembahan Pentas tahun ini iaitu “The Kira” yang menggalakkan orang ramai supaya berani untuk mencari identiti sendiri, menyuarakan perasaan sendiri walaupun ia berbeza dengan apa yang ditetapkan oleh masyarakat.

Bagi Yang Dipertua PBT USM, Lee Zchen Yip (Komunikasi Tahun 3), beliau bangga dengan usaha gigih yang dilakukan oleh ahli-ahli persatuan untuk mempromosi dan mempertahankan budaya sendiri supaya tidak pupus melalui persembahan pentas yang berunsurkan kesenian dan kebudayaan.

170514-34

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian cenderahati kepada para penaja termasuk Eastin Hotel dan 1st Avenue serta penyampaian mock cheque sebanyak 10% daripada wang sumbangan penajaan dan sebahagian daripada jumlah jualan tiket kepada Pusat Dialisis Tzu Chi yang disempurnakan oleh Susie See.

PBT ialah sebuah persatuan yang terletak di bawah tanggungjawab Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM telah ditubuhkan pada tahun 1970 dan kini mempunyai seramai 150 ahli berdaftar. – Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1205

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024