ATLET NEGARA DINOBAT OLAHRAGAWAN DAN OLAHRAGAWATI USM
PULAU PINANG, 22 Mei 2014 – Atlet karate-do negara, Lim Chee Wei dinobat sebagai Olahragawan Universiti Sains Malaysia (USM) manakala jaguh taekwondo, Jocelyn Chai Shwu In merebut gelaran Olahragawati dalam majlis Anugerah Sukan USM ke-36 di sini semalam.
Lim Chee Wei ketika ditemui berkata, beliau amat gembira dan terharu dengan pengiktirafan tersebut dan berharap kejayaan itu dapat menyuntik semangat untuknya terus menabur keringat mengharumkan nama negara ke peringkat tertinggi.
``Saya juga akan berusaha keras bagi mencapai prestasi lebih baik khususnya sebagai persediaan untuk menyertai Sukan Asia Ke-17 di Incheon, Korea Selatan pada tahun ini,’’ katanya.
Jocelyn pula menambah, kejayaan tersebut amat bermakna, apatah lagi impiannya untuk mengharumkan baik nama USM mahupun negara dalam arena sukan taekwondo berjaya dicapai.
Jocelyn turut meraih anugerah berganda apabila turut diumum pemenang Anugerah Warna Ungu, anugerah tertinggi kepada atlet yang mewakili Universiti, Negeri dan juga Negara dalam pertandingan kebangsaan dan antarabangsa.
Kedua-dua atlet emas negara itu diraikan bersama lebih 200 atlet-atlet USM yang telah mencapai pelbagai kejayaan dalam pelbagai bidang sukan, antaranya, hoki, renang, petanque, ragbi, skuasy, bola jaring, bola baling dan sebagainya.
Turut cemerlang sebagai penerima anugerah Ungu ialah atlet renang lelaki, Ooi Tze Wei.
Pemangku Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan pula berkata, sukan turut memainkan peranan penting dalam usaha halatuju Universiti mencapai kecemerlangan secara lebih menyeluruh.
Katanya, dalam rangka Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) Fasa II, pembangunan sukan dan rekreasi turut menjadi salah satu pelan strategik yang perlu direalisasikan oleh semua.
``Dalam aspirasi APEX fasa dua juga kita berharap lebih banyak pencapaian dapat diperoleh, dan USM juga akan menghargai kecemerlangan penggiat sukan pada setiap tahun tidak kira di persada tempatan mahupun antarabangsa,’’ ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika menyampaikan anugerah olahragawan dan olahragawati USM sempena Majlis Anugerah Sukan Ke-36 tersebut. Turut hadir ialah Timbalan-timbalan Naib Canselor dan pegawai utama Universiti.
Dalam pada itu, Majlis Anugerah Sukan menjadi medan pengiktirafan atlet-atlet dan pemimpin sukan Universiti yang mencapai kecemerlangan dalam sukan tertentu dan pengelolaan sukan dari peringkat universiti sehingga ke peringkat antarabangsa.
Selain gelaran Olahragawan dan Olahragawati, USM turut menganugerahkan anugerah Warna Penuh yang diberikan kepada atlet tahun akhir dan ijazah tinggi yang mewakili pasukan pertama Universiti sekurang-kurangnya selama dua tahun dengan pencapaian dan diikuti Separuh Warna (wakil universiti sekurang-kurangnya dua tahun). Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1318