BIDANG KOMUNIKASI PERLU DIANTARABANGSAKAN
PULAU PINANG, 23 Mei 2014 – Pengantarabangsaan bidang komunikasi sangat perlu bagi mengangkat bidang tersebut ke peringkat yang lebih tinggi. Universiti Sains Malaysia (USM) mengorak langkah ke arah pengantarabangsaan dengan menjalinkan kerjasama dengan negara-negara Asia terutamanya Indonesia dan China dengan penubuhan satu persatuan komunikasi serantau.
Jalinan kerjasama tersebut dimeterai melalui penandatanganan Memorandum Perjanjian di antara USM melalui Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) dengan beberapa agensi iaitu Persatuan Pendidikan Tinggi Sains Komunikasi dan Univesitas Tarumanagara dari Indonesia , Jinan University, China dan juga agensi tempatan Felda Wellness Corporation Sdn Bhd.
Hal tersebut dinyatakan oleh Pemangku Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Muhamad Jantan ketika merasmikan Immersion Projects, Appreciation and Tribute (IMPACT) 2014 yang diadakan di sini hari ini.
“Usaha PPK mengantarabangsakan bidang komunikasi adalah sangat relevan kepada siswa dan siswa untuk berkongsi ilmu dan memastikan rangkaian akademik dan hubungan dengan masyarakat serantau terjaga,” tambah Muhamad.
“IMPACT adalah projek pelajar tahun akhir pelajar PPK bagi mendedahkan kepada peluang-peluang kerjaya serta menjalinkan hubungan dengan pihak-pihak industri,” ujar Dekan PPK, Profesor Madya Dr Jamilah Ahmad.
Selain itu, IMPACT juga bertujuan untuk mendekatkan hubungan industri media tempatan dengan PPK menerusi pelbagai aktiviti yang dirancang.
IMPACT 2014 diadakan buat kali ketujuh akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dengan pengisian program-program yang berkaitan dengan media dan komunikasi seperti Sesi Interaktif Bersama Personaliti Media, Pertandingan Pengacaraan, Nostalgia Bersama USM dan Forum Interaksi Industri dan Alumni.
Pada tahun ini, IMPACT mempamerkan kelainan dengan diadakan secara serentak majlis perasmian IMPACT dan juga Syarahan Umum Pelantikan Profesor oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar) yang juga mantan Dekan PPK, Profesor Dr Adnan Hussein yang bertajuk Dari Bab Edh-Dhra ke Perkampungan Sejagat: Kepelbagaian, Dinamisme dan Cabaran Pengajian Komunikasi Masakini.
Turut hadir ialah isteri Pemangku Naib Canselor, Datin Suraiya Kassim, Ahli Lembaga Gabenor Universiti Profesor Dato’ Dr Omar Shawkataly dan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato’ Dr See Ching Mey. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 882