ALUMNI USM KONGSI PENGALAMAN
PULAU PINANG, 24 Mei 2014 – Para alumni Universiti Sains Malaysia (USM) di pelbagai peringkat usia berkongsi pengalaman masing-masing ketika bergelar mahasiswa satu ketika dulu dalam suasana santai di hadapan lebih 100 pelajar di sini hari ini.
Barisan panel yang memeriahkan minggu IMPACT (Immersion Projects, Appreciation and Tribute) itu terdiri dari tokoh-tokoh terkemuka dalam pelbagai lapangan termasuk penulisan dan sastera, penerbitan dan penyiaran, pentadbir dan sebagainya.
Mereka ialah ahli akademik dan penulis terkenal, Dr. Fatimah Busu, Pengacara Helo Malaysia di Bernama TV merangkap pengulas sukan terkemuka tanah air, Sherkawi Jirim, Timbalan Pendaftar Kanan di Pejabat Naib Canselor, Mohamad Abdullah yang telah berkhidmat dengan USM hampir 28 tahun dan Sujiah Salleh, penulis skrip profesional yang pernah terlibat dalam pembikinan filem Ali Setan satu ketika dulu.
Mengikuti bual bicara mereka, Sherkawi yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam dunia penyiaran turut berkongsi rasa terujanya kembali ke USM sejak kali terakhir berada di sini pada tahun 1992.
Katanya, banyak perbezaan di antara dahulu dan sekarang termasuk aspek kemudahan dalam menuntut ilmu, khususnya segala peralatan canggih yang digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.
``Duilunya, dalam bidang penyiaran misalnya, kemudahan yang ada amat terhad, apatah lagi Universiti terpaksa meminjam peralatan dari agensi kerajaan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan sebagainya.
``Namun sekarang kelengkapan yang ada di pusat-pusat pengajian telah jauh lebih baik dan itu memberi satu peluang untuk para pelajar menggunakannya semaksimum mungkin untuk menimba ilmu,’’ ujarnya.
Beliau turut menjadi antara perintis yang memulakan program siaran langsung di negara ini, termasuk menyiarkan Sukan Olimpik di Barcelona untuk tontonan rakyat Malaysia.
Sherkawi turut mengakui, jika ada kelebihan pelajar pada zaman dulu pun mungkin dapat dilihat melalui hubungan akrab di antara pensyarah dengan pelajar, selain penguasaan bahasa Inggeris yang tinggi kesan dari pengambilan tokoh pengajar dari luar negara.
``Dahulu kami boleh berdebat dengan pensyarah jika ada sebarang pertembungan pendapat, kami hentam antara satu sama lain dalam konteks yang berhemah dan masing-masing menerima pendapat dengan hati terbuka,’’ ujar beliau.
Turut mengakui banyak perbezaan USM yang dulu dan sekarang, Mohamad Abdullah pula berkata, USM kini telah melalui fasa perubahan seiring dengan perkembangan semasa dalam dunia serba moden.
``Sebagai sebuah universiti yang boleh dikategorikan sebagai agak muda, USM berkembang dengan baik dan fasa perubahan tersebut terlalu banyak, termasuk dalam pembangunan kurikulum dan sebagainya.
``Pun begitu, adalah lebih baik untuk melihat pelajar pada hari ini lebih menghargai para pensyarah dan memberikan yang terbaik untuk masa depan masing-masing. Renunglah jasa pendidik ini kerana ilmu yang ditumpahkan amat bernilai,’’ ujarnya,
Dalam pada itu, Sujiah juga berkata, tiada sebarang rahsia tertentu untuk maju dan berjaya dalam hidup melainkan dengan keinginan, semangat dan motivasi untuk terus cemerlang.
``Untuk berjaya, kita bukan hanya perlu belajar bersungguh-sungguh sebaliknya mengeluarkan segala yang termampu dalam diri. Pensyarah yang ada di Universiti bukan sekadar pendidik, sebaliknya perlu keluarkan apa sahaja potensi yang ada dalam diri pelajar.
``Dan jika dalam lapangan kerjaya sekalipun, lakukanlah hanya yang terbaik untuk menyampaikan kebaikan, kerana anda semua adalah agen yang mampu mengubah masyarakat ke arah kehidupan yang lebih baik,’’ ujarnya.
Aktivis berpengalaman dan terkenal dengan pelbagai penulisan, Fatimah pula berkata, beliau gemar berinteraksi dengan masyarakat melalui penanya, dan menjadikan latar belakang USM sebagai ilham dalam setiap penulisannya.
``USM ini amat bermakna, kampus ini meninggalkan pelbagai nostalgia yang tidak ternilai. Sehingga kini saya masih ingat kenangan mendengar alunan muzik kumpulan Tabularasa dan sebagainya,’’ katanya.
Fatimah juga adalah ikon yang dikenali sebagai individu pertama yang mengikuti pengajian di ketiga-tiga peringkat termasuk ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (Ph.D) di USM. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md.Isa
- Created on .
- Hits: 1729