USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LEPAS ANAK PENYU SIMBOLIK MINGGU KESEDARAN LAUTAN 2014

240514-20

TELUK BAHANG, 26 MEI 2014 – Sejumlah 30 ekor anak penyu spesis Belimbing dilepaskan oleh warga Kelab Skuba Universiti Sains Malaysia (USM) sempena simbolik kepada sambutan Minggu Kesedaran Lautan 2014 baru-baru ini.

Pelepasan anak Penyu terbabit  telah dibuat di Pusat Konservasi Penyu, Pantai Kerachut, Taman Negara, Pulau Pinang yang membabitkan hampir seramai 50 orang dengan kerjasama Pacific West Foods (M) Sdn. Bhd.

Quek Yew Aun, ahli Kelab Skuba USM selaku Pengerusi program ini berkata inisiatif yang diambil oleh Kelab dan Pacific West menunjukkan USM sentiasa bekerjasama dengan mana pihak yang menyokong aktiviti menyedarkan masyarakat mengenai penjagaan  hidupan dan alam sekitar.

240514-21

“Objektif utama kami adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai betapa pentingnya memelihara spesis lautan seperti Penyu daripada menjadi mangsa dan kerakusan manusia demi kepentingan sendiri hingga memusnahkan habitat dan ekosistem hidupan terbabit,” katanya semasa majlis.

Tambahnya, spesis penyu yang masih ada di dunia hanya tinggal 7 daripada 32 spesis, di mana 4 spesis tersebut masih ada di sekitar negara ini, dan di Pulau Pinang hanya tinggal 1 spesis iaitu spesis Penyu Belimbing.

“Ini menunjukkan bahawa sekiranya kita tidak dapat menjaga dan membiak spesis ini, pastinya generasi di masa mendatang tidak lagi dapat  melihat spesis terbabit akibat kepupusan”

240514-22

Spesis Penyu mampu hidup di antara 120 sehingga 150 tahun dan mencapai tahap matang pada umur 25 sehingga 30 tahun untuk naik semula ke daratan bagi  tujuan bertelur.

Penyu dikatakan haiwan yang cukup sensitif dan amat mementingkan persekitaran yang benar-benar sesuai untuk naik ke daratan bagi tujuan bertelur, cukup hanya sekali terganggu ia tidak akan naik lagi ke kawasan itu dan mencari lokasi lain yang lebih sesuai.

Apa yang menarik tentang Penyu ini adalah ia akan naik di daratan di mana tempat ia dilepaskan sewaktu menetas dahulu untuk bertelur, setelah 25 tahun meninggalkan kawasan tersebut.

Majlis pelepasan anak Penyu spesis Belimbing ini dilakukan sekitar jam 7.00 petang sebelum semua peserta bertolak balik ke jeti Taman Negara menggunakan bot. Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 1200

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024