KEMBALI KEPADA FUNDAMENTAL UNTUK HADAPI CABARAN MASA HADAPAN
KUBANG KERIAN, 26 Mei 2014 - Warga Universiti Sains Malaysia (USM) diseru untuk kembali kepada asas dan fundamental untuk menghadapi pelbagai cabaran yang ada pada masa hadapan termasuk untuk merealisasikan pengurusan yang kejat.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, cabaran yang dihadapi sekarang dan pada masa hadapan memerlukan kesediaan untuk bekerja lebih keras dan pantas serta bertindak bijak secara kreatif dan inovatif.
"Kita perlu membuat anjakan paradigma dengan minda yang terbuka luas, berfikir di luar kotak atau mungkin tanpa kotak sama sekali supaya dapat menjangkau pemikiran tanpa sempadan di samping meningkatkan profesionalisme dan keberkesanan tugas dengan kembali kepada fundamental dan melihat semula DNA jawatan dan tugas hakiki yang perlu diberikan keutamaan," kata Ahmad Shukri yang mewakili Naib Canselor dalam Majlis Anugerah Jasamu Dikenang, Anugerah Khidmat Sanjungan Budi dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada warga Kampus Kesihatan yang berlangsung di Dewan Utama di sini hari ini.
Seramai 28 orang staf di Kampus Kesihatan menerima Anugerah Jasamu Dikenang, sama ada bersara wajib, bersara pilihan atau pun telah kembali ke rahmatullah.
Manakala 77 orang menerima Anugerah Khidmat Sanjungan Budi untuk perkhidmatan yang melebihi 25 tahun dan 380 orang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.
Sebelum ini 348 orang warga menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Kampus Induk Pulau Pinang dan 70 orang warga USM akan menerimanya di Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal awal Jun ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Ahmad Shukri menegaskan, seorang pentadbir akademik mahu pun pentadbir hakiki perlu tahu dan faham tugas masing-masing yang berbeza dan bijak memastikan kerja-kerja dilakukan dengan cekap dan berkesan tanpa perlu arahan yang berterusan dengan berteraskan pemantauan menggunakan kebijaksanaan hati dan qalbu dan ini juga bermakna seseorang itu tahu dan faham tugas asas masing-masing.
"Ini juga berkait rapat dengan konsep pengurusan kejat yang memerlukan kita melihat keseluruhan asas DNA tugas agar kita dapat memperkasakannya dan memberi hak upaya yang jelas dalam melakukan transformasi set minda dan tugas yang dibuat untuk melahirkan seorang pengurus, pentadbir dan staf yang dapat dianggap sebagai 'transformational leaders' dalam setiap kelompok yang ada yang mampu meningkatkan kecekapan dan keupayaan yang ada sekaligus mentransformasikan jabatan dan institusi supaya lebih kejat dan dapat dicontohi," tegasnya lagi.
Hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed, Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan Profesor Dr. Sukari Abdul Halim, Pengarah Hospital USM Dato' Dr. Zaidun Kamari dan ketua-ketua jabatan. - Teks & Foto: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1025