USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROFESOR USM KUPAS CABARAN BIDANG KOMUNIKASI MASAKINI

230514-41

PULAU PINANG, 26 Mei 2014 – Bidang komunikasi pada hari ini bukan lagi terhad kepada sarjana komunikasi semata-mata, sebaliknya telah melibatkan akademia dan pemikir bidang lain yang menjalankan kajian dalam ruang lingkup yang sama.

Professor dalam bidang Komunikasi, Profesor Dr. Adnan Hussein berkata, sarjana komunikasi pada hari mempunyai satu cabaran dalam mendepani perluasan skop bidang itu dan perlu bersedia menyediakan diri ke arah perubahan semasa.

Katanya, akademia bidang komunikasi juga perlu membuka minda lebih luas dan keluar dari kekangan set pemikiran yang beranggapan bidang komunikasi adalah ‘territory’ yang dipunyai oleh kelompok mereka sahaja.

``Isu- isu atau masalah dalam komunikasi bukanlah terhad kepada sarjana bidang ini semata-mata. Sarjana dari disiplin lain juga turut mempelajari dan boleh memberi respon kepada isu-isu yang berlaku.

``Sekarang ini kita melihat orang dari bidang perubatan turut menjalankan kajian dalam tingkahlaku manusia dalam konteks perubatan, yang mana bidang itu sendiri sememangnya adalah disiplin dalam komunikasi,’’ ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan syarahan umum sempena pelantikan Profesor bertajuk Dari bab edh-Dhra ke Perkampungan Sejagat: Kepelbagaian Dinamisme dan Cabaran Pengajian Komunikasi Masakini di sini baru-baru ini.

Hadir sama ialah Pemangku Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Dekan Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Prof. Madya Dr. Jamilah Ahmad dan lebih 300 peserta khususnya para pelajar dari PPK USM.

Adnan yang juga Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar turut berkata, beliau turut teruja melihat perkembangan bidang Komunikasi telah melangkaui sempadan sehingga ada di antara kajian dalam disiplin Komunikasi telah diterbitkan dalam jurnal terkemuka dunia, Nature.

DSC 9049

``Pengkaji dalam bidang Fizik buat kajian dalam disiplin Komunikasi dan diterbitkan dalam jurnal Nature.

``Perkembangan ini memang sangat mengujakan yang mana jika dulu sememangnya kita tidak dapat membanyangkan kajian dalam bidang ini boleh diterbitkan dalam sebuah jurnal yang berorientasikan sains,’’ ujar beliau.

Tambahnya, situasi ini juga sedikit sebanyak memberikan cabaran baru buat sarjana Komunikasi dan mereka disifatkan tidak boleh lagi bekerja dalam ruang lingkup yang ada, selain perlu melangkah jauh ke depan untuk memastikan terus kekal relevan.

Justeru katanya, beliau mengambil metafora sebuah oasis yang dikenali sebagai Bab edh-Dhra yang wujud sekitar tahun 5000 dahulu, berhampiran Laut Mati yang menjadi persinggahan pengembara padang pasir Jordan untuk mendapatkan bekalan air.

Katanya, perkembangan semasa menuntut sarjana Komunikasi melakukan perubahan seiring dengan perubahan semasa kerana jika tidak, bidang ini akan terus ketinggalan dan mungkin dilupakan oleh masyarakat.

Adnan turut menyarankan agar bidang Komunikasi dibuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk mempelajarinya, bukan lagi dihadkan kepada orang yang berlatarbelakangkan komunikasi semata-mata.

``Sarjana bidang ini perlu berkolaborasi untuk menjalankan kajian secara transdisiplin termasuk dengan sarjana sains dan sebagainya. Integrasi ini amat perlu bagi menjamin kelangsungan bidang ini untuk masa depan,’’ katanya.

Tambahnya, bidang pengajian Komunikasi masa kini juga menghadapi cabaran besar untuk menyaingi perkembangan pesat teknologi informasi dan internet, yang disifatkan terlalu jauh berbeza dengan huraian kepada teori-teori komunikasi sedia ada.

DSC 9296

Menyingkap latar belakang beliau, Adnan adalah anak kedua dari empat orang adik-beradik, mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Ismail Petra, Kota Bharu.

Mula mengikuti pengajian di peringkat tinggi pada tahun 1982, Adnan memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang antropologi dan sosiologi pada tahun 1886.

Bapa kepada empat cahaya mata ini kemudiannya melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang kewartawanan dan komunikasi massa di Iowa State University, Ames, diikuti pengajian di peringkat ijazah kedoktoran di University of Utah, Salt lake City.

Dari segi akademik, Adnan telah menerajui penyelidikan dalam bidang komunikasi alam sekitar di USM, kewartawanan media baru, media sosial dan pelancongan.

Hasil kajian dan penulisan beliau telah diterbitkan dalam jurnal, prosiding dan penerbitan tempatan dan antarabangsa, termasuk Asian Media and Information Centre (AMIC), Singapura dan ASPIKOM Indonesia. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 2040

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024