USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KIDS EAT RIGHT ILHAM PELAJAR

280514-1
 
PULAU PINANG, 27 Mei 2014 – Berbekalkan pengalaman melihat kaum keluarga yang dibelenggu masalah dalam mendidik anak-anak untuk makan dengan sempurna dan bernutrisi, pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) mengaplikasikan teknik animasi interaktif untuk mengatasi dilema tersebut.
 
Nurazlin Amin, pelajar Rekabentuk Grafik Komunikasi dari Pusat Pengajian Seni (PPS) berkata, beliau mendapat ilham menghasilkan rekabentuk unik berlatar belakangkan animasi nutrisi untuk dicetak kepada keperluan kanak-kanak.
 
Rekabentuk animasi tersebut ujarnya boleh digunapakai pada peralatan seperti pinggan mangkuk, magnet peti sejuk, beg sekolah mahupun dicetak dalam bentuk kemeja-T untuk menarik minat kanak-kanak mengenali makanan berkhasiat.
 
"Sebilangan besar kanak-kanak kebiasaannya menolak untuk memakan sayur-sayuran dan buah-buahan kerana kurang tahu dan tidak didedahkan secara betul mengenai khasiat daripada kelompok makan tersebut.
 
"Justeru saya hasilkan rekabentuk khas melalui pelbagai barangan dengan menggunakan kreativiti animasi untuk menarik minat mereka terhadap makanan ini dan dalam masa yang sama mereka belajar untuk tahu khasiat yang diperoleh,’’ ujar beliau.
 
Mengulas hasil produknya, Nurazlin berkata, dalam setiap barangan yang dihasilkan diletakkan gambar sayur-sayuran dengan keterangan tertentu termasuk I’m In Love With.., I’m Delicious, Let’s Make Soup dan sebagainya.
 
"Ada juga rekabentuk saya menggambarkan perasaan makanan yang sedih apabila ditolak, yang dibuat khas bagi memberi kesedaran kepada golongan kecil dan menimbulkan rasa simpati mereka, sekaligus menghargai makanan-makan bernutrisi.
 
"Saya juga sediakan bahan seperti magnet yang boleh menggerakkan minda mereka untuk memahami keperluan nutrisi sihat, dan ia amat sesuai digunakan di pusat-pusat jagaan dan tadika di seluruh negara,’’ ujar beliau lagi.
280514-2
 
Produk beliau yang telah menggamit sebilangan besar pengunjung khususnya guru-guru tadika itu dipamer dalam pameran Research Innovation Towards Integration dan Sustainability atau lebih sinonim dengan RINTIS anjuran PPS.
 
RINTIS yang turut menjadi kemuncak kepada usaha pelajar sebelum bergraduasi turut  memberi laluan kepada mereka menembusi pasaran industri melalui hasil kreativiti masing-masing.
 
RINTIS meliputi pelbagai rekacipta termasuk dalam bidang Rekabentuk Grafik Komunikasi, Rekabentuk Teknologi Media Baru, Rekabentuk Produk, Seni Halus, Persembahan dan Pedagogi serta Lakonan dan Pengarahan. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohamad Danial Shahri 
  • Created on .
  • Hits: 898

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024