USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RAKAM DUKACITA ATAS KEMANGKATAN SULTAN PERAK

 IMG 10

PULAU PINANG, 28 Mei 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) turut merasai kehilangan dan dukacita atas kemangkatan Sultan Perak yang diumumkan hari ini.

Pro Canselor USM, Tan Sri Mustafa Mansur berkata, beliau sangat sedih dengan berita kemangkatan baginda yang disifatkannya satu kehilangan yang amat besar dan sangat dirasainya secara peribadi.

“Saya mengenali Al-Marhum Tuanku secara peribadi sejak menjadi pelajar di USM terutamanya apabila aktif dalam permainan hoki yang berterusan apabila saya menjadi Ahli Majlis USM dan kemudian ahli Lembaga Pengarah sehinggalah sekarang dengan begitu banyak kenangan yang sukar dilupakan,” kata Mustafa.

Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan juga merakamkan perasaan dukacita dan takziah atas kemangkatan baginda secara peribadi dan bagi pihak semua ahli Lembaga Gabenor USM.

“Kita tahu hubungan rapat USM dengan Al-Marhum D.Y.M.M Sultan Azlan Shah selama ini apatah lagi sebagai Pro Canselor USM yang pertama, malah negara dan dan dunia turut kehilangan seorang raja berjiwa rakyat dan cendiakawan yang dihormati terutamanya sebagai pengamal undang-undang yang sangat disegani,” kata Zulkefli.

Sementara itu, Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menyifatkan kemangkatan baginda sebagai satu kehilangan besar.

“Bagi pihak seluruh warga Universiti, para pelajar, staf mahu pun para alumninya, saya menzahirkan perasaan dukacita yang mendalam atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbudiin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yusof Izzuddin Ghafarullahu-Lahu.  USM memang turut merasai kehilangan yang amat sangat kerana baginda adalah Pro Canselor pertama USM di antara tahun 1971 – 1984 yang terus memberikan sumbangan kepada USM secara berterusan ketika USM diterajui oleh Allahyarham Tan Sri Hamzah Sendut, Allahyarham Tun Hamdan Sheikh Tahir dan Tan Sri Musa Mohamad,” kata Naib Canselor.

Tambah beliau, tempoh 13 tahun sebagai Pro Canselor adalah sangat besar maknanya kepada USM ketika berada dalam fasa awal pembangunannya yang amat bermakna kepada Universiti yang begitu muda usianya tatkala itu sehinggalah berjaya meletakkan Universiti pada satu kedudukan yang tinggi.

“Malah baginda sentiasa berangkat dan terlibat dalam banyak perbincangan dan aktiviti ilmu di USM yang berterusan yang juga diteruskan oleh putera baginda D.Y.M.M Tuanku Dr. Nazrin Shah yang juga mempunyai hubungan yang akrab dengan USM,” kata Omar.

Baginda Al-Marhum D.Y.M.M Sultan Azlan Shah adalah graduan kehormat yang menerima ijazah kehormat Doktor Undang-undang pada Upacara Konvokesyen Ke-9 pada 28 Jun 1980 sebagai mengiktiraf jasa dan pencapaian besar baginda kepada masyarakat dan negara malah dunia seluruhnya.

Kata Naib Canselor lagi, kemangkatan baginda tentu sahaja satu kehilangan besar bukan sahaja kepada dunia ilmu dan akademik, tetapi juga sokongan dan minat mendalam baginda terhadap sukan terutamanya hoki yang saban tahun baginda berangkat sendiri untuk menyampaikan hadiah-hadiah dalam Kejohanan Hoki Antarabangsa USM 7 Sebelah.

“Para mahasiswa USM sama ada dalam kalangan anak-anak Perak USM yang sering berpeluang bertemu muka dalam majlis-majlis menghadap yang diadakan saban tahun, malah juga mahasiswa lainnya yang terlibat dalam pelbagai acara sukan terutamanya hoki,” tambah Omar.

USM merakamkan sedalam-dalam takziah dan dukacita atas kemangkatan baginda D.Y.M.M Sultan Perak dan mendoakan moga Allah s.w.t menempatkan baginda dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh. - Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1354

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024