PERISIAN KESELAMATAN CERUN ELAK TANAH RUNTUH
PULAU PINANG, 29 Mei 2014 – Penyelidik dan pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Fauziah Ahmad telah menghasilkan perisian bagi mengkaji keselamatan sesuatu cerun memandangkan fenomena tanah runtuh bukan perkara asing di Malaysia khasnya. Hujan lebat dan pembangunan pesat di kawasan luar bandar menyebabkan negara kita terdedah kepada risiko tanah runtuh.
Perisian yang dinamakan USlopeM - Inovasi Perisisan Kestabilan Cerun (yang membawa nama USM) ini adalah yang pertama di Malaysia dan dapat mengira serta menganalisis keselamatan/kestabilan sesuatu cerun berdasarkan beberapa lapisan tanah berbanding perisian yang sedia ada yang hanya boleh menganalisis satu lapisan tanah pada satu-satu masa.
“Perkara yang paling penting dalam analisis seperti ini ialah Faktor Keselamatan (Factor of Safety) berdasarkan zillions permukaan gelinciran,” kata Fauziah dalam satu sidang media memperkenalkan produk tersebut hari ini.
“USlopeM digunakan untuk menganalisa keselamatan sesuatu curun berdasarkan data rekod penyiasatan tanah (Soil Investigation) daripada Geologi dan Geomorfologi,” kata Fauziah yang juga Timbalan Dekan Institut Pengajian Siswazah USM.
“Perisian sedia ada yang selalu digunakan adalah teknologi daripada Kanada yang diberi namaSlope/W dan Slide yang mana mengkaji hanya satu lapisan tanah.
“USlopeM juga mempamerkan keputusan kajian hanya dalam masa kurang daripada dua minit bagi 10,000 pengiraan atau percubaan,” tambah Fauziah.
Hasil daripada data yang dikaji oleh perisian ini, jurutera boleh menasihati pihak kontraktoran samada kawasan yang dikaji sesuai atau tidak untuk sebarang pembangunan samada untuk pembinaan tempat kediaman, hotel atau pun sebagai tempat peranginan.
“Data yang diperolehi berdasarkan plot warna yang ditunjukkan menentukan tahap keselamatan sesuatu cerun dan membatu para jurutera untuk menentukan kaedah penyelesaian masalah cerun tersebut,” kata Fauziah yang hadir dengan penyelidik bersama iaitu Profesor Madya Dr. Ahmad Shukri Yahaya dan juga Mohammad Tabarroki dari pusat pengajian yang sama.
Perisian tersebut yang telah menerima hak cipta dan juga tanda dagangan sudah dipasarkan dengan haraga RM2500.00 berbanding perisian yang sedia ada yang dijual di anatra RM7000 – RM 13000. Jabatan Kerja Raya dan juga Tenaga Nasional Berhad telah menunjukkan minat untuk menggunakan perisian tersebut dalam kerja-kerja yang berkaitan.
Perisian ini telah memenangi pingat emas dan juga Anugerah Khas Vifotec (Best Women Inventor) di Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2014. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1444