USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ILMU DAN AGAMA PERLU SEIRING

20140526 171921

PULAU PINANG, 28 Mei 2013 -  Bertemu dengannya di sebuah gerai di Sungai Nibong secara tidak sengaja pada suatu petang, membuka peluang berkongsi pengalaman luasnya selama lebih 31 tahun di Universiti Sains Malaysia (USM).

Ketika itu, dia baharu sahaja membantu menguruskan pengkebumian di tanah perkuburan berhampiran menyapa penulis dalam senyuman kebiasaannya yang mesra dan bersahaja.

Beliau sering juga membacakan khutbah Jumaat di Mesjid Al-Malik Khalid USM mengingatkan tentang perlunya berjalan seiring antara menguasai ilmu pengetahuan dan mengamalkan ajaran agama apatah lagi dalam kesibukan menjalankan tugas seharian.

“Ingatan ini penting kerana ilmu pengetahuan seharusnya menjadikan kita lebih bijaksana dalam kehidupan berpandukan ajaran agama kita,” katanya kepada penulis.

Profesor Madya Dr. Hassim Mat, 60, pensyarah di Pusat Pengajian Perumahan Bangunan dan Perancangan (PBP) USM menyimpan banyak kisah, bukan sahaja tentang peribadinya yang sejak belajar lagi telah terlibat dalam jemaah Islam tetapi juga ingatannya terhadap Dekan Pusat Pengajian PBP yang dikatakan terlibat dalam merekabentuk Mesjid Al-Malik Khalid.

“Saya tahu Dr. Fauziah Lucas yang pernah menjadi dekan di sini telah terlibat merekabentuk Mesjid Al-Malik Khalid dan banyak reka bentuk bangunan lain, tetapi saya sudah begitu lama tidak berjumpa sejak beliau tinggalkan USM,” cerita Hassim mengingati dekan-dekan Pusat Pengajian PBP daripada Profesor Dr. Ghani Salleh yang kini dikatakan kurang sihat, Profesor Dato’ Ibrahim Wahab yang pernah menjadi penyelianya, Profesor Dato’ Dr. Ir Mahyuddin Ramli sehinggalah kepada Dekan sekarang, Profesor Madya Dr. Aldrin Abdullah.

20140526 171918

Anak kelahiran Batu Maung Pulau Pinang ini, memulakan kerjayanya di USM pada Disember 1982, bersara pada Januari 2014 lalu dan kini bertugas secara kontrak di Pusat Pengajian PBP di samping menjadi  Iman Mesjid Umar Ibnul Al-Khatab Bayan Baru. 

Hassim yang berijazah pada tahun 1980 dalam Sarjana Muda Sains (Kejuruteraan Struktur), Sarjana  (Perancangan Bandar) dan  Ph.D (Perancangan Pengangkutan - Pengangkutan Luar Bandar)  merupakan  siswazah pertama yang melakukan pengajian ketiga-tiganya di Pusat Pengajian PBP USM.

Hassim melakukan Ph.D di bawah penyeliaan Prof. Dato’  Dr. Ibrahim Wahab dan sempat berada 6 bulan di United Kingdom di samping pernah terlibat dalam mengkaji pergerakan penumpang, barangan dan pengangkutan air di Bukit Besi, Dungun Terengganu di bawah KETENGAH. 

“Saya dan seorang sahabat Allahyarham Abdul Rahman Muhammad yang ketika itu adalah  Presiden Persatuan Mahasiswa Islam USM (PMIUSM) memulakan tradisi memasak untuk jamuan berbuka puasa di Mesjid USM sejak tahun 1978, yang ketika itu mesjid bukanlah seperti mana sekarang ini dan kami bangga kerana tradisi kecil-kecilan ini kini berkembang menjadi satu amalan sepanjang Ramadhan di USM untuk berbuka puasa bersama-sama,” kata Hassim.

Hassim terlibat dalam gerakan Islamiah sejak 1976 apabila aktif dalam seni silat gayung yang mendisiplinkan diri dengan agama. 

“Kami ketika belajar dahulu, banyak tidur di surau dan berusaha keras untuk menghafaz Al-Quran,” tambah Hassim lagi. 

Menurutnya lagi, adalah sangat penting bagi seseorang mahasiswa mendekatkan diri dengan agama dan mendisiplin diri termasuk dalam mencari pasangan hidup yang seharusnya bersandarkan kepada prinsip agama.

Perkahwinannya  dengan alumni USM Che Aina Abdul Hamid, seorang guru yang kini telah  bersara semasa mengajar di SMK Raja Tun Uda Pulau Pinang  telah dikurniakan dengan  6 orang cahaya mata  dan  5 orang cucu. 

Dalam ketawa Hassim mengenang kembali perkahwinannya dengan siswazah Sarjana Muda Pendidikan (Biologi) itu semasa zaman belajarnya dan datang konvokesyen dengan membawa sama cahaya mata berusia 3 bulan. Teks dan foto: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1157

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024