USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ALUMNI USM: HASRATNYA INGIN BERBAKTI KEPADA ANAK BANGSA

 20140523 170805
 
PULAU PINANG, 30 Mei 2014 - Hasratnya ketika datang bertemu penulis hanyalah untuk menjemput menghadiri majlis perkahwinannya yang akan berlangsung pada 8 Jun ini.  Namun perjalanan hidup ketika ini dan semangatnya menarik perhatian penulis untuk bertanya lebih lanjut.
 
Apatah lagi ceritanya, yang pertama kali hidup dalam kesepian kampung pedalaman, elektrik yang kadang-kadang ada tetapi lebih kerap kali tiada dan air dari paip yang seumpama kopi susu yang seringkali tidak dapat digunakan untuk membasuh pakaian.
 
“Saya terkedu ketika pertama kali menjejak kaki jam 9.00 malam ke kampung Pusa Betong Sarawak pada tahun lalu dengan kesunyian yang luar biasa berbanding dengan kehidupan yang dilalui di Pulau Pinang,” kata Shahezwan Hasdi atau dikenali sebagai Mamu dalam kalangan rakan-rakannya.
 
Ketika sampai dia tertanya-tanya, dengan kawasan yang amat sunyi dengan ditemani oleh guru Penolong Kanan 1 yang menjemput di Pejabat Pendidikan Daerah Betong bersama 5 orang guru baharu yang mengambil masa hampir 2 jam perjalanan berkereta ke sekolah, bolehkah hidup di sini, apatah lagi mendengar cerita elektrik yang kerapkali tidak ada, sistem perpaipan lama dan perlu menggunakan tong untuk menadah air hujan.
 
Orang Tanjung Tokong Pulau Pinang ini pernah menjadi Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar pada Sidang 2006/2007, sezaman dengan Zuaril Akimi yang kini bertugas di USM yang ketika itu menjadi Yang Dipertuanya. Mamu mengikuti pengajian ijazah Sarjana Muda Seni yang berijazah pada tahun 2008.
 
Apabila tamat pengajian Shahezwan melakukan pelbagai pekerjaan, terlibat dalam perniagaan dan beberapa kerja lain sehinggalah mendapat peluang menjadi guru sandaran  dan diserap ke jawatan tetap selepas mengikuti Diploma Lepasan Ijazah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 2012 dan dihantar bertugas ke SMK Pusa Betong Sarawak.
 
“Jarak perjalanan sejauh 420 km dari Kuching dan dari jalan besar 25 km menggunakan kereta pacuan empat roda cukup menggambarkan perasaan saya ketika itu, namun hari ini saya rasa bangga dan ingin terus berada di sini untuk berbakti kepada anak bangsa,” katanya.  
 
Dia bersyukur, dengan berada jauh di pedalaman dan tempat yang asing baginya, dia dapat mengenal kehidupan sebenar dan budaya baharu malah belajar bahasa tempatan demi mendekatkan dirinya dengan anak-anak yang baharu dikenalinya ini.
 
“Saya gembira dapat belajar dan berhadapan dengan masyarakat setempat, apabila berada di Sarawak dengan mengenali lebih rapat orang-orang Iban, Melanau dan Dayak dan mula merasa seronok,” katanya lagi.
 
Dengan guru seramai 70 orang dan pelajar sekitar 920 pelajar,  sebahagian besarnya Melayu diikuti oleh Cina dan Iban masalah awalnya ialah dialek yang berbeza yang menyebabkan agak sukar komunikasi.
 
Dia juga mula memahami erti pembangunan dan sumbangan kerajaan dalam pendidikan dan kemajuan luar bandar.  Di sini juga adalah tempat untuk mereka yang selama ini hidup senang dan menikmati segala kemudahan untuk merasai dan mensyukuri apa yang ada selama ini, kekurangan yang mengajar kita erti sebenar kehidupan. Malah juga menyaksikan anak-anak yang berjalan jauh merentasi hutan dan sungai untuk memperolehi ilmu pengetahuan.
 
“Kerajaan banyak membantu infrastruktur di sini yang sekaligus mengajar saya erti kehidupan sebenar,  belajar menghargai nikmat jalan raya yang ada, nikmat mempunyai elektrik yang tidak putus, nikmat air yang bersih dan jernih malah sangat menghargai segala kemudahan yang dinikmati terutamanya internet yang amat payah dan perlahan di sini,”kata Shahezwan.
 
“Hari ini saya gembira berada di sana dengan pengalaman baharu dan dapat pula memanfaatkan llmu pengetahuan saya dalam bidang seni untuk digabungkan secara kreatif dengan pembelajaran mata pelajaran yang diajar, malah bertekad untuk mendidik anak-anak ini untuk terus berjaya hingga sejauh yang mungkin kerana umumnya mereka di sini, terutamanya perempuan berkahwin muda sebaik sahaja selesai persekolahan,” kata Shahezwan.
 
Tambahnya lagi, seperti mana sesetengah guru lain terutamanya dari luar Sarawak yang telah lebih 15 tahun berada di sini dan gembira menjalani kehidupan di sini, Shahezwan juga tidak ketinggalan menanam tekad untuk terus menjadi guru yang memberikan sumbangan dalam pembangunan anak bangsa, malah mengubah pemikiran mereka terhadap kepentingan ilmu pengetahuan dengan mengadakan makmal dan kem yang dapat memberikan pendedahan baharu kepada anak-anak ini.
 
“Saya percaya masih banyak yang boleh saya terokai dan capai bukan sahaja di sini malah juga di mana sahaja untuk membantu anak-anak bangsa saya dan ini hanya merupakan permulaan untuk satu perjalanan yang lebih jauh ke hadapan,” kata alumni USM ini dengan bangga.
 
Mungkin ada kisah yang lebih menarik lagi dilalui oleh alumni USM lain, namun cerita Shahezwan Hasdi adalah sekelumit daripada pengalaman menarik guru-guru dan pendidik yang bertugas di pelbagai ceruk di negara kita. Teks dan foto: Mohamad Abdullah
  • Created on .
  • Hits: 1096

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024