USM RAIH 3 ANUGERAH ENACTUS 2014
SHAH ALAM, SELANGOR, 27 Mei 2014 – Pasukan Enactus Universiti Sains Malaysia (USM) meraih 3 Anugerah di Pertandingan “ENACTUS MALAYSIA NATIONAL CUP 2014” yang telah diadakan di sini baru-baru ini. USM berjaya memasuki pusingan separuh akhir buat pertama kalinya menewaskan lima Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lain setelah empat tahun penglibatan dalam Enactus.
Tiga anugerah tersebut ialah Anugerah All Stars, Anugerah Penasihat Terbaik dan Anugerah Pemimpin Pelajar Terbaik (Lelaki). Penasihat terbaik diberikan kepada Pegawai Pengiring pasukan USM yang juga Penolong Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP), Nurul Izzati Rozali manakala Pemimpin Pelajar Terbaik dianugerahkan kepada Presiden Enactus USM 2014, Khoo Wai Heng.
“Pada tahun ini, kami memilih projek bersama masyarakat Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk diketengahkan dalam Enactus. Kerjasama dalam program ini dijalinkan dengan Koperasi OKU Pulau Pinang serta mencapai matlamat membantu orang OKU Pulau Pinang serta memperolehi kejayaan dalam pertandingan tersebut,” kata Nurul Izzati.
“Saya berjanji akan berusaha bagi meraih kejayaan di pusingan akhir tahun hadapan. Sokongan padu daripada pihak BHEPP juga telah membantu perlaksanaan program berjalan dengan lancar dan berjaya,” kata Khoo Wai Heng mewakili 9 orang ahli Enactus USM yang lain.
Program tahunan tersebut adalah anjuran Enactus Malaysia dan mendapat penyertaan sebanyak 22 pasukan Enactus Malaysia dari pelbagai IPT Awam dan Swasta. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Royal Patron Enactus Malaysia Foundation, Y.A.M Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Sumbangan BHEPP
- Created on .
- Hits: 1479