ICOBM 2014: BERJAYA MENARIK 222 PESERTA DARI 24 NEGARA
PULAU PINANG, Mei 2014 - Sebanyak 222 peserta dari 24 negara telah menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Mikrob Bermanfaat 2014 (International Conference on Beneficial Microbes, ICOBM 2014) anjuran Bahagian Teknologi Bioproses, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini baru-baru ini.
Dari jumlah 222 peserta itu, hampir separuh iaitu seramai 109 peserta merupakan peserta luar negara antaranya dari Korea, China, Taiwan, Indonesia, Jepun, India, Iran, Belanda, UK, New Zealand, Nigeria, Afrika Selatan, Thailand dan Yemen.
Persidangan selama 3 hari itu yang julung kali dianjurkan oleh USM turut menyaksikan lebih 100 kertas kerja dibentangkan merangkumi pembentangan ucaptama, plenari, poster dan oral.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal berkata, objektif utama persidangan itu ialah untuk menyediakan satu platform kepada para penyelidik, ahli akademik, profesional industri dan pelajar pasca siswazah dari dalam dan luar negara berinteraksi, bertukar ilmu dan idea terkini serta berkongsi hasil penyelidikan dalam pelbagai bidang berkaitan mikrob bermanfaat.
“Penyertaan yang begitu ramai khususnya daripada peserta luar negara menunjukkan betapa penting dan relevannya persidangan ini dalam mencari penemuan dan idea-idea baru yang diharap dapat membantu meningkatkan pemahaman orang ramai tentang peranan, mekanisme dan faedah mikroorganisma bermanfaat.
“Seringkali orang ramai mengaitkan perkataan ‘mikroorganisma’ atau ‘mikrob’ dengan penyakit seperti demam selsema, cirit-birit, kolera (taun), antraks, dan tuberkulosis (tibi) yang memudaratkan kesihatan kita malah ada yang boleh menyebabkan maut tetapi ramai yang tidak ketahui terdapat juga sekumpulan ‘mikroorganisma’ atau ‘mikrob’ yang dikatakan bermanfaat dan membawa kebaikan kepada kita.
“Malah mikroorganisma bermanfaat ini memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan harian kita baik dalam bidang pertanian, akuakultur, makanan dan nutrisi, perubatan dan farmaseutikal mahupun aplikasi industri.
“Justeru itu, USM sebagai sebuah universiti penyelidikan (RU) dan universiti APEX, akan terus bekerjasama dengan institusi penyelidikan dan rakan industri yang terkemuka di dunia dalam bidang biokteknologi dan kajian mikrob bermanfaat untuk bersama-sama menerajui kerja-kerja penyelidikan ke arah mencari penyelesaian yang dapat memanfaatkan manusia sejagat,” kata Ahmad Shukri ketika merasmikan persidangan tersebut di sebuah hotel di sini.
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI), Profesor Dr. Azhar Mat Easa, berkata selain teknologi bioproses, bahagian pengkhususan yang lain di PPTI seperti biosumber, teknologi kertas dan pelitupan; teknologi persekitaran; dan teknologi makanan juga amat aktif menjalankan penyelidikan menggunakan mikrob bermanfaat untuk menghasilkan bioetanol, prabiotik dan probiotik, rawatan air sisa, makanan berfermentasi, dan pelbagai lagi.
Sejurus selesai majlis perasmian, Pengerusi Rancangan Teknologi Bioproses di PPTI USM merangkap Pengerusi ICOBM 2014, Profesor Madya Dr. Liong Min Tze menyampaikan ucaptama pembukaan bertajuk “Diverse Potentials of Beneficial Microorganisms” yang mana beliau memberi gambaran menyeluruh enam trek utama yang meliputi aspek-aspek yang paling penting dalam bidang mikroorganisma bermanfaat iaitu sains dan teknologi makanan; nutrisi dan nutraseutikal; omics dan teknologi molekular; perubatan dan aplikasi kesihatan; pertanian dan akuakultur; dan perspektif industri.
Selain Liong, dua lagi penyampai ucaptama ialah Profesor Dr. Wilhem Holzapfel dari School of Life Sciences, Handong Global University, Korea Selatan merangkap Presiden International Committee on Food Microbiology and Hygiene (ICFMH) dan Dr. Koen Venema, pengasas dan pemilik Beneficial Microbes Consultancy.
Ahmad Shukri juga dibawa melawat booth pameran yang dikendalikan oleh rakan-rakan penaja industri, antaranya B-Crobes Laboratory Sdn. Bhd., Bioflow Lifescience Sdn. Bhd., Sartorius Malaysia Sdn. Bhd., Yakult (M) Sdn. Bhd., Fisher Scientific (M) Sdn. Bhd., Team Medical & Scientific (M) Sdn. Bhd., Chemopharm Sdn. Bhd., dan Morinaga Milk Industry Co. Ltd. (Japan). – Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1211