RSEN DAN KELAB SEJAHTERA DILANCAR
PULAU PINANG, 30 Mei 2014 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr Omar Osman telah melancarkan Regional Sejahtera Education for Sustainable Development Network (RSEN) dan juga Kelab Sejahtera.
RSEN adalah satu rangkaian yang pada ketika ini mempunyai lebih 30 agensi sebagai ahli yang dibentuk untuk saling berkongsi amalan terbaik dan bekerjasama serta berkolaborasi di antara satu sama lain. Sebagai sebuah Universiti APEX rangkaian global ini dapat menempatkan sumber kepakaran dalam bidang masing-masing sebagai sumber pendidikan pembangunan lestari.
“Pembentukkan RSEN membantu dan memimpin advokasi dan meningkatkan kesedaran masyarakat melalui usaha terhadap kepentingan pendidikan pembangunan kelestarian,” kata Naib Canselor.
“USM telah dipilih sebagai antara tujuh RCE terawal di dunia oleh United Nations University – Institute of Advanced Studies (UNU-IAS) dan telah membuktikan keupayaan dalam memacu program-program kelestarian dengan menjalankan pelbagai aktiviti dan inisiatif yang bermanfaat kepada masyarakat,” tambah Omar ketika melancarkan RSEN dengan simbolik menyiram beberapa batang pokok buluh yang melambangkan kepelbagaian masyarakat di Malaysia khasnya dan di dunia amnya.
“RCE Penang telah bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang bagi menjalankan aktiviti-aktiviti secara terus dan secara virtual dengan RCE di luar negara,” ujar Penyelaras RCE Penang, Profesor Munirah Ghazali.
“Aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah seperti International Youth Eco Summit 2013, Sustainable Living with Environment Risk Program dan Workshop on Green Activities,” tambah beliau.
Kelab Sejahtera diasaskan dengan tiga elemen utama iaitu Kepimpinan, Sejahtera dan Education for Sustainable Development. Nama kelab ini adalah selari dengan konsep Sejahtera iaitu merangkumi keamanan,keharmonian, ketenangan , kesejahteraan dan kesihatan.
“Kelab Sejahtera telah ditubuhkan di lima buah sekolah perintis di Pulau Pinang dan mereka ini bertuah kerana berupaya membina jaringan dengan RCE global yang lain antaranya RCE Delhi, RCE Yogyakarta dan RCE Greater Western Sydney,” tambah Naib Canselor.
Bersempena dengan pelancaran RSEN, turut diadakan adalah mesyuarat pertama RSEN yang memilih tiga wakil USM dan lima daripada agensi luar sebagai Ahli Majlis RSEN. Pengerusi RSEN, Profesor Dato’ Dr Omar Osman juga mencadangkan pertambahan dua wakil bagi melengkapkan 10 wakil agensi sebagai Ahli Majlis seperti berikut :-
- Pusat Pendidikan SRI-SMI Berhad (MUSLEH)
- Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang
- SEAMEO RECSAM
- UNESCO-IHP
- Jabatan Alam Sekitar
- Taman Botani Negeri Pulau Pinang
- Lembaga Akademik Musleh (LAM)
- Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah USM
- Eco-Hub USM
- Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS)
Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1102