USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ADAKAN LEBIH BANYAK BAKTISISWA DI BANDAR, KATA NC USM

310514-10
 
KG. SELUT, SG. PINANG, 31 Mei 2014 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman hari ini menyeru supaya lebih banyak program bakti siswa diadakan di kawasan bandar.

"Kita banyak mengadakan aktiviti seperti ini di luar bandar, sampai masanya kita juga membanyakkan aktiviti seperti ini di kawasan yang juga memerlukan perhatian yang sewajarnya," kata Omar.

Beliau berucap merasmikan Program Baktisiswa Jalinan Kasih di sini anjuran Kor Sukarelawan Polis (SUKSIS) bersama-sama pelbagai komuniti tempatan dan dengan kerjasama Bahagian Hal-Ehwal Pelajar (HEP) USM dan Jabatan Hal-Ehwal Khas (JASA).
310514-11
 
Hadir di majlis ini ialah Timbalan Naib Canselor (HEP) Profesor Dr. Adnan Hussein,  Pengarah Jabatan Pembangunan Pelajar Dr Nazaruddin Zainun, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Abdul Manaf Rahim dan para pemimpin komuniti tempatan.

Naib Canselor turut memberikan penerangan tentang perkembangan dan pembangunan USM dan negara secara umumnya dan menasihatkan pelajar agar tidak merasa rendah diri dengan pencapaian dan pembangunan pesat yang dicapai.

Menurut Omar, USM kini mempunyai lebih 30,000 pelajar, beberapa buah kampus termasuk di India dan Kuala Lumpur, malah dari kira-kira 2,000 orang pensyarah yang ada, lebih 80% daripada mereka mempunyai ijazah Ph.D. yang merupakan tertinggi di negara ini.
310514-12


Katanya lagi, para pelajar tidak perlu merasa rendah diri dengan kemajuan yang dicapai oleh orang lain, sebaliknya seperti juga universiti, mereka seharusnya menjadi  pembina dan turut serta dalam proses pembangunan negara dengan mengelakkan diri daripada terlibat dalam gejala yang mengancam kesejahteraan negara apatah lagi merosakkan diri sendiri.

"Jadilah agen pembangunan negara yang sentiasa relevan kepada masyarakat seperti mana sentiasa berusaha berbuat demikian termasuk dengan menggalakkan pelajar dan pensyarah turun padang," kata Omar lagi.

Beliau turut meminta pelajar agar menjadi graduan yang tahu asas pembangunan masyarakat dan sentiasa membantu komuniti terutamanya yang dekat kampus universiti.
IMG 7313
 
IMG 7279


"Tentunya lebih menarik jika masyarakat kita dapat memastikan agar setiap keluarga sekurang-kurangnya mempunyai seorang anak yang masuk belajar di universiti," tambah Omar.

Seramai 40 orang anggota SUKSIS mengambil bahagian dalam program dua hari termasuk mengadakan kelas UPSR, gotong-royong, kenduri kampung dan beberapa aktiviti lain.  - Teks: Mohamad Abdullah Foto: Mohd Fairus Md. Isa
  • Created on .
  • Hits: 1130

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024