USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

9% WANITA MENGALAMI KEGANASAN RUMAHTANGGA

310514-1

SUNGAI PETANI, KEDAH, 31 Mei 2014 – Sembilan daripada 100 orang wanita di Semenanjung Malaysia yang mempunyai pasangan mengalami keganasan rumahtangga. Hal ini dibuktikan oleh sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) dan pelbagai agensi lain yang diketuai oleh Pensyarah Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Dato’ Dr. Rashidah Shuib dalam kajian mereka mengenai Keganasan Rumahtangga Terhadap Wanita atau Domestic Violence Against Women (DVAW).

Menurut Rashidah, faktor penyebab utama berlakunya DVAW adalah kerana golongan lelaki yang merasakan diri mereka mempunyai kuasa sehingga sanggup melakukan keganasan kepada golongan wanita yang dianggap lemah.

“Hasil daripada World Health Organisation Assemble Resolution 1996, ramai telah sedar tentang betapa seriusnya hal ini dan juga isu kesihatan awam ini dianggap sesuatu yang penting dan perlu dibanteras,” ujar Rashidah ketika menyampaikan ucapan aluan di Seminar Awam dan Dialog Bersama Komuniti DVAW anjuran Pusat Penyelidikan Pembangunan Wanita (KANITA) USM yang diadakan di sini hari ini.

“Kajian ini telah dijalankan dari 2007 hingga 2011 dan fakta yang dikeluarkan juga adalah sahih memandangkan kesemua data yang diperolehi juga adalah hasil dan bukti kepada setiap pertemuan secara rawak berdasarkan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia,” tambah beliau.

Kajian pada peringkat kebangsaan tersebut telah dibiayai oleh Geran Universiti Penyelidikan (RU Grant) di bawah KANITA manakala dana untuk program perkongsian hasil dapatan kajian dengan masyarakat umum adalah dibiayai oleh dana khas Geran Luar (Antarabangsa) United Nations Population Fund (UNFPA).

310514-2

Di samping Rashidah, turut membentangkan hasil dapatan daripada projek tersebut ialah Pensyarah PPSP, Dr. Sarimah Abdullah dan juga Profesor Madya Dr. Puzziawati Ab Ghani daripada Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

“Bentuk-bentuk keganasan rumahtangga terbahagi kepada tiga iaitu fizikal, emosi dan juga seksual iaitu termasuk ugut dengan senjata, mengugut untuk mencederakan serta seks secara paksaan,” jelas Sarimah.

Tambah beliau lagi, lebih 50% penyebab kaum lelaki melakukan keganasan adalah disebabkan faktor kewangan, campur tangan keluarga, tekanan di tempat kerja serta perasaan cemburu terhadap pasangan.

Turut diadakan adalah sesi dialog bersama komuniti yang telah dipengerusikan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM Profesor Madya Siti Hawa Ali dengan ahli panel terdiri daripada Pegawai Turus, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, ASP Doreen Chee Choon Lee dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Rizatulmi Haizaran Abdul Samat, Pegawai Advokasi Women’s Centre for Change (WCC), Melissa Mohd Akhir, Pegawai Kebajikan Masyarakat Kuala Muda Rohana Yusof dan Pakar Perubatan Kecemasan, Hospital Sultanah Bahiyah Dr Fatahul Laham Mohamed.

Hadir bersama ialah Pengarah KANITA, Profesor Madya Dr. Noraida Endut dan beberapa staf KANITA yang juga penyelidik bersama di bawah projek penyelidikan tersebut.

“Saya merayu kepada orang ramai yang menyaksikan kes-kes sebegini supaya memaklumkan kepada pihak berkuasa atau badan-badan bukan kerajaan yang diiktiraf seperti WCC, Women’s Aid Organisation serta Pusat Khidmat Krisis Bersepadu (One Stop Crisis Centre) yang diwujudkan di jabatan kecemasan setiap hospital,” rayu Rashidah. - Teks dan Foto: Nor Rafizah Md Zain

 

 

  • Created on .
  • Hits: 1600

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024