USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PESTA TANGLUNG KEMBALI LAGI SEPTEMBER INI

 

300514-30

PULAU PINANG, 29 Mei 2014 – Selama tiga hari berturut-turut, Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua (SKKT) Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya mengumpulkan sejumlah dana hasil penjualan poskad ucapan yang dibuat menggunakan gambar foto ‘selfie’ pelajar untuk dikirim balik ke kampung halaman kepada ibu bapa pelajar sempena Hari Penghargaan Ibu Bapa.

Mengikut Pengerusi SKKT, Ooi Chin Teck, aktiviti ini bertujuan membolehkan pelajar universiti menunjukkan kasih sayang dan rindu mereka terhadap ibu bapa selain diharap dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang pentingnya kemesraan dan kasih sayang dalam memupuk sebuah masyarakat penyayang.

“Melalui projek yang kreatif itu, mahasiswa-mahasiswi juga berpeluang untuk berkhidmat kepada masyarakat kerana jumlah keuntungan hasil penjualan kad tersebut telah digunakan untuk membeli barangan keperluan harian untuk diderma kepada anak-anak yatim dari Children's Protection Society Pulau Pinang, sebuah pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.

Hadir menerima sumbangan daripada SKKT bagi pihak Children's Protection Society Pulau Pinang ialah pekerja kebajikannya, G.S. Suria di majlis perasmian Pesta Tanglung 2014 di Dewan Harmoni hari ini.

Aktiviti Hari Penghargaan Ibu Bapa itu sebenarnya merupakan salah satu pra-aktiviti yang telah dirancang oleh ahli jawatankuasa Pesta Tanglung 2014 SKKT untuk menarik perhatian warga kampus dan luar kampus tentang Pesta Tanglung yang bakal diadakan pada 26 dan 27 September 2014.

Mengikut Timbalan Pendaftar Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (HEPP) USM, Tuan Haji Husin Yahaya, HEPP amat berbangga dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh SKKT secara sendiri atau bersama dengan persatuan lain selama ini misalnya Pesta Amal Tahun Baru Cina, Earth Hour 2014, Karnival Kesukarelawanan dan beberapa lagi, menunjukkan bahawa SKKT adalah sebuah persatuan yang aktif di USM.

DSC 0038

“Ini sejajar dengan hasrat USM untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti ko-kurikulum dan program kesukarelawanan yang terdapat di USM. Pendek kata, kita ingin melahirkan graduan yang holistik - berilmu, berakhlak, berkemahiran, berpandangan jauh, berdaya saing dan berdaya tahan.

“HEP USM akan sentiasa menyokong penuh aktiviti dan program seumpama ini yang dianjurkan oleh persatuan pelajar, malah saya menggesa semua mahasiswa untuk lebih berinteraksi antara satu sama lain yang sememangnya kurang diamalkan dalam kalangan generasi Y,” ujar Husin ketika mewakili Timbalan Naib Canselor (HEPP) merasmikan Pesta Tanglung 2014 di sini.

“Pada zaman saya di universiti, pelajar dari segenap lapisan masyarakat akan berkumpul di dewan umum untuk menonton televisyen bersama-sama bersorak menyokong pasukan bola sepak kegemaran mereka. Ini membantu pelajar-pelajar untuk mengurangkan tekanan belajar selepas waktu kuliah serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama mereka,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Pesta Tanglung 2014, Kuah Kok Ern berkata, pesta kali ini yang bertemakan “Diverseo Night of Moonlight” bertujuan untuk membawa kegembiraan kepada semua yang menyambut perayaan tanglung di samping meningkatkan pengetahuan dan pemahaman mahasiswa USM serta khalayak ramai terutamanya golongan muda tentang kebudayaan dan kesenian Tionghua.

“Pesta tahun ini akan dijalankan dalam bentuk karnival dan merangkumi pelbagai aktiviti yang menarik yang melibatkan bukan sahaja warga USM, tetapi juga pelajar sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang, antaranya pertandingan membuat tanglung daripada bahan semulajadi, pertandingan mewarna, menyanyi dan fotografi.

Turut hadir ialah Penasihat SKKT yang juga Pegawai Kebudayaan di HEPP, Zulkifli Che Hussin dan ahli-ahli jawatankuasa Pesta Tanglung 2014. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Yong Check Yoon

  • Created on .
  • Hits: 1618

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024