USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MOHD SHAFIE INGIN LONJAK KELAB SUKAN STAF USM

mohd shafie

PULAU PINANG, 4 Jun 2014 -  Yang Dipertua Kelab Sukan Staf Universiti Sains Malaysia (KSSUSM) yang baharu dilantik, Mohd. Shafie Ariffin berikrar akan terus melonjakkan nama KSSUSM seiring dengan pencapaian cemerlang semasa sukan di USM.  

Mohd. Shafie dilantik menggantikan Dr. Mohd Adi Firdaus Tan yang telah memegang jawatan tersebut selama dua penggal dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Ke-25 KSSUSM yang berlangsung di Dewan Kuliah A hari ini.

Dalam ucapan ringkasnya setelah dilantik sebagai YDP KSSUSM, Mohd. Shafie berpendapat sudah tiba masanya KSSUSM melakukan pembaharuan terutamanya dari segi pengurusan sukan dengan lebih sempurna dan teratur, dan menjana kewangan yang lebih banyak bagi kelab.

“Jika dilihat dari segi penglibatan dan kejayaan yang dicapai dalam pelbagai lapangan sukan bagi tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, sebagai contoh semasa USM menjadi tuan rumah dan johan keseluruhan bagi Sukan Staf Universiti (SUKUM) pada 2010, saya percaya kita mempu mencatatkan keputusan yang lebih cemerlang nanti,” ujarnya.

Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan ini juga berterima kasih kepada barisan kepimpinan yang lepas sambil mengharap sokongan yang lebih padu dari semua pihak terutama ahli jawatankuasa yang dilantik.

“Saya memang merupakan seorang ahli sukan, bergiat aktif dalam sukan Tenpin Boling, akan tetapi dalam bidang pengurusan sukan, saya anggap sebagai masih bertatih dan berharap semua ahli dapat bersama-sama di belakang saya bagi memimpin KSSUSM ini.”

Mohd. Shafie turut melontarkan buah pendapat terkini mengenai perancangannya sebagai YDP KSSUSM bagi Sesi 2014-2016 ini.

“Antara perancangan yang ingin saya zahirkan adalah dengan menganjurkan beberapa siri bengkel kemajuan sukan, kepada ahli KSSUSM, supaya kita sama-sama dapat belajar dan memahami bagaimana menguruskan sesebuah pasukan atau jawatankuasa dengan lebih baik.”

“Selain itu, mungkin kita boleh mencadangkan kepada Universiti, untuk memberikan mata CPD khusus kepada atlet staf yang mengambil bahagian dalam acara-acara sukan yang dipertandingkan, tidak kira sama ada dipertandingkan di dalam USM atau di luar.”

20110802 333

Jawatan Naib Yang Dipertua (NYDP KSSUSM) juga menyaksikan Abdul Jalil Ishak dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, yang juga merupakan Konvenor Bola Tampar dilantik bagi menggantikan Suhaimi Bakar yang telah berkhidmat hampir 15 tahun.

Teks: Mohamad Danial Shahri/Foto: Mohd Shafie Ariffin/Abdul Jalil Ishak

  • Created on .
  • Hits: 1450

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024