USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SENI DAN BUDAYA HARUS DIKONGSI BERSAMA

IMG 9010
 
PULAU PINANG, 5 JUN 2014 – Keunikan seni dan budaya yang dimiliki oleh masyarakat berbilang bangsa di negara ini harus dikongsi bersama supaya kita mudah memahami dan menghormati antara satu sama lain demi keharmonian negara tercinta.
 
Melalui penyatuan pelbagai bangsa dalam perkongsian idea termasuk penganjuran majlis bersama dapat menerapkan nilai toleransi dan pemahaman budaya selain mengukuhkan hubungan antara pelbagai kaum.
 
IMG 8998
 
Itu yang diharapkan oleh Ooi Chin Teik, Presiden Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua (SKKT), Universiti Sains Malaysia (USM) yang mahukan peranan Sekretariat ini bukan sahaja diperluas kepada masyarakat Cina sahaja, malah kepada semua kaum yang ada di kampus ini.
2.5.1 
 
Ketika ditemubual berkaitan hala tuju Sekretariat ini, beliau begitu komited dalam memperjuangkan isu berkaitan kesenian dan kebudayaan yang kini tidak dipandang oleh generasi kini kerana ditelan arus kemodenan.
 
“Atas sebab itu, kami sedang berusaha mempromosi dan menambah bilangan peserta untuk Sekretariat ini agar para pelajar sentiasa didedah dan mempelajari seni budaya tradisi Cina.
 
“Hingga kini sejak SKKT USM ditubuhkan pada tahun 2013, kami telah mempunyai seramai 63 orang ahli yang aktif dan bilangan ini dijangka bertambah dari semasa ke semasa” katanya lagi.
 
2.1.6
Tambah beliau yang sedang mengikuti kursus Perakaunan tahun dua, sejak berjaya menganjurkan Malam Tahun Baru Cina baru-baru ini yang berlangsung di DTSP, pihak Sekretariat telah menerima lebih dari 700 orang pelajar untuk menyertai Sekretariat ini.
 
“Apa yang menggembirakan kami, bukan sahaja pelajar berbangsa Cina, malah kami turut menerima ramai pelajar dari bangsa Melayu dan India ingin menyertai Sekretariat ini,” ujarnya dengan raut wajah gembira.
 
Apapun Ooi berkata sesiapa yang ingin menyertai perlulah melalui sesi temuduga terlebih dahulu untuk pihak Sekretariat menilai dari segi pemahaman dan komited mereka sebelum diserap masuk.
 
Menurut Andy Loh Kean Kwan, Timbalan Presiden II SKKT, pihak kami cukup terbuka dan mengalu-alukan penyertaan bangsa lain untuk bersama kami.
 
Katanya dengan kepelbagaian bangsa di dalam Sekretariat ini, ia dapat bertukar-tukar ilmu dan berkongsi bersama adat dan kesenian pelbagai bangsa, dan ini cukup menyeronokkan.
 
“Pihak kami juga ada mengeluarkan surat jemputan bukan sahaja untuk pelajar, tetapi kepada pensyarah dan staf agar menyertai kami dalam apa jua aktiviti dan majlis yang diadakan.”
 
Tambah Andy lagi, sejak ditubuhkan, Sekretariat ini banyak menyertai pameran dan majlis-majlis di universiti serta turut dijemput oleh universiti lain bagi menjayakan majlis mereka.
 
“Antara universiti yang pernah menjemput SKKT untuk bersama-sama menjayakan majlis adalah UPM, UKM, UUM, MMU dan beberapa buah kolej swasta” ujar beliau yang kini pelajar tahun dua Kursus Perumahan, Bangunan dan Perancangan, USM.
 
Ditanya mengenai program komuniti yang telah diadakan selaras dengan hasrat universiti, Bendahari SKKT, Yeoh Yun Jing berkata pihak Sekretariat kini telah mengadakan kerjasama dengan beberapa organisasi luar bagi melaksanakan program komuniti.
 
“Kami telah mendapat kerjasama dengan Sekretariat Orkestra Cina, Penang Undergraduate Community Service dan Persatuan Pelajar Buddhist untuk bersama-sama melaksanakan beberapa program libat sama komuniti.
 
“Sejak tahun 2013 melalui penganjuran beberapa majlis, hasil dana yang dikumpul telah didermakan kepada Pusat Dialisis Pulau Pinang untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan mendapatkan rawatan dialisis di sana,” ujar Yeoh.
 
Selain itu, Yeoh berkata SKKT juga telah bersama-sama menganjurkan Pertandingan Tanglung sempena Pesta Tanglung yang setiap tahun diadakan di USM.
 
“Kita akan ke sekolah-sekolah sekitar Pulau Pinang bagi mewar-warkan kepada pelajar sekolah bagi menyertai pertandingan Tanglung ini, dan ia terbuka untuk semua.”
 
Tambah Yeoh, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM banyak membantu sepanjang Sekretariat ini ditubuhkan termasuk dari segi tajaan dan dana bagi menjayakan majlis.
 
Terakhir ditanya mengenai sasaran mereka selepas ini dalam membawa nama Sekretariat ke peringkat tertinggi, Ooi berkata, “kami ingin menyediakan platform yang terbaik terlebih dahulu untuk menaikkan tradisi dan sejarah kebudayaan Cina agar ia sentiasa dipandang tinggi dan dihargai oleh semua pihak.”
 
“Pemahaman yang jelas mengenai tradisi Cina, sejarah, seni, budaya dan etika merupakan perkara asas yang perlu diterokai dan jika ia mampu dilakukan, mudah untuk semua berganding bahu meletakkan seni budaya ini ke tahap yang diingini,” tambah Ooi.
 
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Mohd Fairus Md. Isa & Sumbangan Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua (SKKT)
  • Created on .
  • Hits: 2087

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024